Tuesday, April 7, 2009

Soal Hati

Bila hati dah kotor, boleh ke dibersihkan lagi?
Bila jiwa dah rosak, boleh ke dipulihkan kembali?
Kalau boleh, bagaimana caranya?
Ataupun..
Walaupun dan pulih keduanya, adakah hati akan tetap kotor walaupun sedikit?

Termenung sejenak bila mendapat soalan ini dari seorang kawan dilaman friendster. Bukan memikirkan bagaimana untuk menjawabnya, cuma pelik dengan situasi sejak kebelakangan ini. Kerap pula aku diajukan dengan persoalan berkenaan hati ni. Mungkin petanda hatiku akan dimiliki dalam masa terdekat ini? Mungkin juga. Hai, kalau la betul..hihi

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?" (29:2)

Jika dilihat dan diteliti persoalan yang cuba ditimbulkan, terdapat beberapa persoalan yang memaksa aku untuk perjelaskan dan jawab dengan sebaiknya. Tapi ingin diingatkan, aku ni bukanlah seorang alim ulama mahupun ustaz berkelulusan tinggi, cuma sekadar ingin berkongsi ilmu yang sedikit ini buat kemudahan dan kesenangan semua. Mana yang baik, diambil jadikan gulai, mana yang buruk diambil juga, tapi buatlah ia menjadi budu mahupun tempoyak, sekadar pelengkap & hidangan sisi kepada sesebuah hidangan utama.

Bila bercakap soal hati, ia tidak lari dan tidak akan pernah melarikan diri dari soal perasaan dan jiwa. Diadun pula dengan rasa sayang, rindu, cinta, marah, benci, menyampah, sesumpah, bersumpah dan juga sampah. Ini tidak dapat tidak, semuanya berkaitan dengan satu sindrom yang dipanggil penyakit hati.

Tetapi, penyakit hati yang bagaimana untuk aku perjelaskan pada kali ini? Penyakit hati berlubang ke? Oh tidak, kerana hati berlubang mampu ditampal lubangnya dengan pita salotep ataupun gam berjenama gajah, insyaAllah kuat melekat dan bertambah kuat sakitnya yang seterusnya akan meningkatkan lagi kebarangkalian meninggal dengan cepat. Bila dah meninggal, insyaAllah sakit tu akan hilang. Kan bagus begitu dari menanggung sakit yang entah bila akan berakhir..haha.. Kejam.

Berbalik kepada persoalan asal, cuba dikaji dan dilihat hadith dibawah. Jangan lihat saja, eja dan baca sekali.

Rasulullah bersabda: Mata boleh berzina dengan melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dengan merindui, mengingati dan membayangi si dia (HR Bukhari dan Muslim, rujuk Riyadusolihin bab larangan melihat wanita)

Pada hematku, hati dan jiwa itu boleh dikategorikan sebagai satu benda yang sama. Kerana tanpa hati, mana mungkin jiwa kan wujud. Juga tanpa jiwa, tiada erti dan nilai lah hati tersebut. Jadi bila keduanya telah rosak dan kotor, bolehkah ia dibersihkan dan dipulihkan kembali?

Jawapanku senang, tak boleh. Baca lagi, tak boleh tak dibersihkan, juga tak boleh dibiarkan begitu saja, terus kotor dan berlumut. Sebaliknya, ia perlulah dibersihkan dan dipulihkan agar ia kembali kepada fitrah kejadian asalnya.

Sehelai baju yang mahal harganya, dipakai dan secara tidak sengaja telah dikotorkan. Adakah kita aka terus membuangnya ke tong sampah DBKL? Sudah tentu tidak bukan? Kerana kita tinggal kat Setiu, mana mungkin kita buang tebiat pergi ke Kuala Lumpur semata-mata nak buang dalam tong sampah DBKL, itu kerja orang G.I.L.A. namanya..haha.. Tapi sebolehnya kita akan cuba bersihkan kekotoran tu, tak kiralah macam mana sekalipun caranya, Fab Total lah, Kuat Harimau lah, Kuat Sang Kancil lah, Daia lah, Dia lah, Kamu lah, Puteri Emas lah, Puteri Perak lah, semua kita beli untuk memastikan kekotoran yang ada tadi hilang, dengan harapan baju kita tadi kembali kepada keadaan asal.

Hal ini samalah dengan hati yang kotor dan rosak ni. Sepatutnya, kita layan hati kita ni jauh lebih baik dari sehelai baju yang mahal sekalipun, kerana hati kita ini bukannya ada dijual dikedai spare part mahupun kedai kek & roti Sweeden sekalipun, ia kurniaan Allah teramat berharga sehingga tiada nilai yang boleh kita letak sebagai harganya. Tapi kenapa kita tidak mahu mengambil berat dan cuba menjaga kebersihan ia melebihi segala-galanya?

Tapi persoalannya, bagaimana yang arif? Bercakap senang yang arif, tapi bagilah kami cara-caranya yang arif. Kalau guna mesin basuh LG boleh ke? Atau nak kami rendam dalam baldi 3 hari 3 malam dengan peluntur jenama Klorox?

Betul, bercakap senang, tapi nak mempraktikkan penyelesaiannya yang sukar dan memerlukan kekuatan seperti Badang, Hulk Hogan dan juga Giant. Salah, bukan kekuatan fizikal yang menjadi kayu ukur, tapi kekuatan spiritual dan emosi itu lebih penting dan perlu dititik beratkan.

Susah juga ya bila difikirkan. Bila sakit tangan, kita urut. Bila sakit gigi, cabut. Bila sakit mata, cucuk, eh apa lak cucuk, kome nih..hik hik hik.. Tapi bila sakit hati? Bagaimana nak merubatnya? Setelah menggeledah dan membaca beberapa sumber, beberapa cara dapat aku kenal pasti yang boleh dipraktikkan untuk mengubati penyakit hati ni.

“Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d:28)

Secara dasarnya, bila penyakit hati ini menjangkiti hati-hati kita, ia disertakan dengan natijah-natijah ataupun kesannya sekali. Salah satunya yang paling utama, hati menjadi gundah gulana, berserabut, hati tidak tenang, selalu berfikiran yang bukan-bukan, fikirkan ultaman, doreamon, action kamen, kamen rider dan sebagainya. Jadi ubat paling mujarabnya adalah terletak pada firman Allah diatas. Itulah ibu segala ubat dan penawar paling mujarab didunia ini.

Persoalan lain timbul, sejauh mana penghayatan kita pada Allah sehingga mampu mententeramkan hati-hati kita ni? Kalaulah begitu senang ubatnya, tapi kenapa masih ramai yang tersungkur kalah dengan ujian ini? Ini tidak lain tidak bukan, puncanya adalah kerana hati kita dan terlalu kotor sehinggakan hidayah Allah pun susah untuk sampai.

Jadi untuk para penyakit hati seperti ini, ubati ia dengan cara lain, step by step dan perlahan-lahan, agar tidak menjadi terkejut seterusnya cepat membosankan dan jiwa kembali kalah dengan nafsu dan imbuhan hasutan syaitan yang direjam.

Antara step yang boleh diamalkan ialah:

1. Tinggalkan segala amalan dan perbuatan salah laku kita selama ini. Jika sebelum ini kita suka mengumpat, mencaci dan mengeji orang, perlahan-lahan cuba kawal diri untuk tidak terlibat dengan aktiviti membuat ketupat yang barangkali sedap tapi tidak berkhasiat ini. Jika hati rosak kerana sorang lelaki mahupun wanita, perlahan-lahan cuba lupakan dia dan tanam sifat benci kepada lelaki tersebut.

2. Sibukkan diri dengan perkara-perkara yang berfaedah, tapi jangan isi dengan mengorat Faridah ataupun Faezah. Jika datang rasa rindu, cepat-cepat padamkan rindu itu dengan seboleh mungkin. Jika sedang mendengar lagu jiwang karat, hentikan dan beralih kepada lagu-lagu ganas dan brutal. Lagi baik jika memasang ayat-ayat suci al-Quran atau mendengar ceramah-ceramah agama di YouTube. Siapkan kerja sekolah, assignment dan projek. Ataupun lakukan sedikit kerja amal seperti menyapu rumah termasuk rumah sebelah, kalau mampu semua rumah dalam kampung kita pun lagi baik, untung-untung ada yang nak ambil jadi menantu.

3. Ambil wuduk, solat sunat dan mengaji al-Quran. Masya-Allah, jika kita mampu melakukan sampai ketahap ini, insyaAllah hidayah Allah itu makin dekat dengan kita, bila-bila masa ia akan hinggap dan tertanam dalam jiwa. Tapi bagi yang tidak mampu, sekadar ambil wuduk pun dah memadai, ataupun cuba basahkan kepala dan tubuh. Ini mampu membuatkan fikiran kita tenang dan tenteram dari mengingati perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

4. Tanamkan dalam diri yang aku boleh, bukan Malaysia saja yang boleh, tapi aku juga boleh. Kuatkan semangat dan ikhlaskan niat kita sikit demi sedikit. Jangan sekadar tunggu hati itu untuk ikhlas dengan sendiri, kerana hampir mustahil ia akan ikhlas kalau kita tiada usaha. Diperingkat awal, paksa hati-hati kita untuk cuba ikhlas. Biarlah kita buat sesuatu itu dengan terpaksa terlebih dahulu, kerana pasti suatu masa nanti keterpaksaan itu pasti akan bertukar menjadi keikhlasan yang cukup manis diteguk.

5. Berkawan dengan kawan-kawan yang baik-baik dan menjaga hubungannya dengan Allah. InsyaAllah, keadaan sekeliling mampu membuatkan kita berubah. Jadi, faktor memilih kawan itu amatlah penting demi menjamin keberkesanan dan keistiqamahan kita dalam usaha kita merawat hati kita itu.

6. Ubah cara hidup seharian. Jika sebelum ini, hidup kita cuma bangun pagi, mandi, makan, ke kelas, balik kelas, studi dan tidur saja, cuba ubah dan tambah apa-apa aktiviti lain yang berfaedah. Contohnya selepas solat subuh dan asar, amalkan ma'thurat, selepas maghrib bacalah al-Quran sekurang-kurangnya 2 'ain (lebih kurang 2 muka surat) dan sebelum tidur amalkan mengambil wuduk. Petang-petang pula jika tidak pernah beriadah, cuba-cubalah beriadah dan cari kawan yang boleh dijadikan teman dan mempunyai minat yang sama dengan kita. Ajak bermain batu seremban atau pondok-pondok pun boleh juga.

Itu antara cara-cara yang aku mampu fikirkan, tapi sebenarnya banyak lagi cara yang boleh kita praktikkan, yang penting niat dan kesungguhan kita. Kerana tanpa keduanya, cadangkanlah cara apa sekalipun, hantarlah jin hantu jembalang langsuir sekalipun, tetap tidak akan berubah juga. Yang penting, diri sendiri.

Walaupun dan pulih keduanya, adakah hati akan tetap kotor walaupun sedikit?

Menjawab persoalan ini, kita kembali pada analogi baju mahal yang kotor tadi. Hati yang bersih ini umpama sehelai baju yang baru dibeli, mahal harganya dan susah juga untuk didapati. Tapi bila sekali ia kotor, dihantar ke dobi atau dibasuh sendiri, selepas mengalami basuhan pertama sudah tentu rupanya pasti tidak akan sama lagi dengan yang asal sebelum kotor dan dibasuh. Pasti akan nampak lain juga walaupun kekotoran itu keseluruhannya hilang.

Halnya sama jugalah dengan hati, bila sekali dah kotor, kekotoran itu pasti akan ada juga sedikit. Apa yang sedikit itu? Yang sedikit itu adalah kenangan kepada dosa-dosa kita itu. Tapi kekotoran ini jika pandai digunakan, ia boleh menjadi sebagai benteng kepada kita untuk terus menjadi insan yang berguna.

Jangan sesekali berputus asa dengan usaha untuk menjadi seorang insan yang berguna dan diredhai Allah. Banyakkan bersabar kerana Allah bersama-sama dengan orang yang bersabar, seperti dalam firman-Nya,

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan,kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (2:155)

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, selagi pintu taubat masih diterbuka luas. Jangan sekali kita buat silap, sampai ke ajal kita terus nak berada dalam kesilapan.

“Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” (An-Nisa’: 18)

Berubahlah, ubatilah, dan perbaikilah diri kita setiap masa dalam mendambakan redha dan rahmat dari Allah swt. InsyaAllah, moga kita tergolong dalam insan-insan yang mendapat perlindungan dibawah arash-Nya kelak.

* M E N G H A R A P K A S I H M U *
Read rest of entry

Friday, April 3, 2009

Duit Seringgit Diatas Meja

Jam sekarang menunjukkan 6 minit sebelum jam 5 pagi. 5 pagi, bukan 5 petang. Kelihatan duit seringgit melambai-lambai diatas meja ditemani sebiji mouse, kalkulator, CD case, wallet BUM Equipment(TM), jam tangan Adidas, pen merah, gunting, bateri panasonic yang telah lama habis, handset, kain pengelap laptop, external hardisk, kertas-kertas bertaburan, dan tidak ketinggalan, kopiah lama yang dah berusia tidak kurang 2 tahun, tapi masih mengekalkan rupa bentuk asalnya, putih, bersih dan berseri-seri lagi jika dipakai oleh tuan punya beliau. Mak aih, banyaknya pekakas kat atas meja ni, baru aku tahu lepas tulis entry ni. Menampakkan yang empunya meja ini begitu bekerja keras, sibuk sampai tiada masa untuk mengemas meja yang kian sempit gara-gara timbunan harta benda yang entah apa-apa.

Fuh, intro je baru tu. Dah mengarut ntah pape.

Hai duit seringgit, apa yang kau lambai-lambaikan tu? Aku begitu keliru dengan sikapmu malam ini. Seolah-olah begitu mengharapkan belaian dan perhatian dariku. Apa tidak cukupkah layananku selama ini pada kamu? Atau kamu yang bersikap tamak tidak tahu menghargai apa yang telah aku curahkan kepadamu selama ini? Sungguh kau begitu tidak mengenang budi. Dah, jangan kau nak buat muka kesihan lagi depan aku. Silap-silap aku buang dikau jauh-jauh, jauh dari kawan-kawan seangkatan dan sepermainanmu dimeja study ku ini. Kamu mahu aku buat kamu begitu? Mahukah kamu? Huh!

Tapi siapalah aku untuk memahami dirimu wahai duit seringgit. Engkau bukannya pandai berkata-kata seperti mana aku berkata-kata. Mungkin kau sedang berkata-kata denganku, tapi mana mungkin aku memahami bahasamu yang aneh itu. Maaf duit seringgit, aku tiada masa untuk memahami bahasamu. Aku sibuk, terlalu banyak hal duniawi yang aku terpaksa uruskan, terlalu banyak tanggungjawab yang belum aku selesaikan, aku terhimpit, makin tersepit, fahamilah aku wahai duit seringgit. Dah, jangan buat muka sedih lagi, aku tak suka.

Aku tahu, kau lapar belas kasihku, kau rindukan perhatian dan ungkapan sayangku padamu. Tapi kau perlu faham, aku bukannya sengaja mahu biarkan dirimu terus terkapai-kapai sendirian dimejaku itu, bebanan kerja seharian terlalu mencemburui aku untuk meluangkan masa bersamamu. Aku tahu, aku tidak sepatutnya membiarkan kamu begitu, aku tahu tanggungjawabku pada dirimu, membelaimu dan memberimu kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya, tapi aku lemah, aku tidak kuat, aku makin hanyut dengan kesibukan duniawi yang mendustakan ini.

Maafkan aku wahai duit seringgit, bukan niat dan pintaku untuk membiarkan kamu disana, melambai dan terus melambai pada diriku. Tapi apa yang aku boleh buat, hanyalah memandangmu dengan hujung mataku, kesihan tapi egoku tetap menebal mengatasi kemahuanku untuk bersamamu. Maafkan daku. Maafkan daku wahai duit seringgit kesayanganku.
Aku terlalu kejam pada dirimu wahai duit seringgit, aku persiakan kamu disaat aku tidak memerlukan kamu. Aku buang dirimu dari diari kehidupan aku seharian, aku biarkan diriku terus mengecap kemanisan duniawi tanpa menghiraukan dirimu yang aku tinggalkan sendirian, sepi dan kesunyian. Mungkin aku tinggalkan kamu bersama rakan-rakan kau yang lain, tapi aku mengerti, kasih sayangku pada dirimu pasti tidak dapat ditandingi oleh kasih sayang dan perhatian yang ditunjukkan oleh rakan-rakanmu yang lain dimeja study ku itu.

Duit seringgit, aku juga merinduimu, aku juga terlalu menyayangi kamu, aku sayang sangat-sangat pada dirimu. Aku bersyukur sangat bila kamu hadir dalam diriku, sejak aku mengenal kehidupan didunia ini. Suatu ketika, kau setia menemani ku kemana-mana saja aku pergi. Kau tidak pernah jemu bermain denganku, membelaiku, dan membimbingku sekiranya aku terlalai. Betapa ikhlasnya ikatan yang kau tunjukkan pada diriku, sehingga aku sendiri sudah terlalu jatuh cinta pada dirimu. Sebolehnya aku ingin bersamamu sehingga ke akhir nyawaku berpisah dengan jasad, itu janjiku wahai duit seringgit.

Walau seringkali aku melukakan hatimu, mengabaikan kesihatan dan keperluanmu, tapi kau tetap setia bersamaku. Terlalu tinggi tingkat kesabaranmu wahai duit seringgit, terluka tapi tetap kau sudi memaafkan daku, walau seperit mana yang kau terpaksa tanggung. Tapi aku? Terlalu cuai dan lemah dalam menjaga kebajikanmu. Seringkali aku mengabaikanku, mencarimu dikala aku kesunyian dan ditimpa musibah sahaja.

Ketika aku ketawa riang, aku tidak pernah mengajakmu sama-sama ketawa denganku, tapi tiap kali aku menangis, kau aku cari, kerana aku tahu kau adalah teman paling baik bagiku, teman paling mamahami diriku. Jahilnya diriku ini, melayanmu sebegitu teruk sekali. Tapi kau tetap sabar melayan kerenahku, memberi kata-kata semangat padaku, walau aku sendiri tidak pernah bercakap denganmu, tapi gerak geri dan perilakumu sudah cukup untuk menunjukkan yang engkau begitu mengambil berat dan menyayangi diriku.

Maafkan daku, aku berdosa padamu duit seringgit. Janganlah dikau meninggalkan daku, janganlah walau hanya sekali, kerana aku yakin pasti hidupku musnah jika kau pergi meninggalkan ku. Tolonglah, bersabarlah dengan sikapku yang teruk ini, tolong...

Tut..tut..

Ha, apa la pakcik ni berjiwang karat ala-ala mamat Romeo memalam buta ni, dengan duit seringgit pula tu. Buang tebiat ke apa. Ke nak mati? hohoho.. Jangan la doakan diriku semacam itu, terlalu banyak dosaku yang belum terampun lagi, terlalu banyak tanggungjawab yang perlu aku selesaikan dulu didunia ini.

Cuma sekadar ingin mengingatkan diri sendiri disamping berkongsi dengan rakan-rakan pembaca sekalian. Cuba kita tukar duit seringgit itu dengan iman yang berada didalam diri kita ni. Memang tepat sekali perumpamaan yang aku bawakan ni bukan? Itulah kita manusia, seringkali kita lupa untuk memperbaharui iman kita, kita lupa untuk menyayangi iman kita, kita lupa untuk membelai dan memberikan perhatian yang lebih kepada iman kita ni. Kesibukan hal duniawi selalu menjadikan kita lupa dengan kebajikan dan tanggungjawab kita pada iman ini. Seringkali dia menangis dengan sikap kita sehari-hari tanpa kita sedar. Tapi seburuk mana pun layanan kita pada dirinya, ia tetap setia bersama kita, insyaAllah selagi Allah kita letakkan sebagai Tuhan yang kita sembah, tiada Tuhan selain-Nya.

Jadi ayuh semua, jagalah iman kita sebaiknya. Sebagaimana kita membelai insan yang paling kita sayang, belailah juga iman kita ini dengan belaian yang sewajarnya. Jangan sampai dia merajuk dan melarikan dirinya dari kita suatu masa nanti. Disaat itu, segunung penyesalan pun tidak bermakna lagi, selautan tangisan pun tiada nilai lagi, melainkan kerugian yang sebenar-benar dan kesesatan yang terang lagi nyata yang bakal kita perolehi. Ingat, kita tidak sesekali boleh menjemput kematian, melainkan kematianlah yang datang menjemput kita tanpa kita sedar dan pelawa sekalipun.

* S E T I A T E M A N I K U *
Read rest of entry

Tuesday, March 31, 2009

Seharian Bersama Part 2

Kembali lagi kita diarena karut wa marut tapi bukannya mencarut, itu dosa. Setelah lebih kurang seminggu rehat dari benda alah bernama blog ni, kini kembali juga secara terpaksa dalam kesibukan hidup seharian. Sedikit perkongsian mengenai rumusan dan pengajaran dari posting yang sebelum ini. Kalau belum baca, pergi baca dulu, sebelum aku sekeh pala lutut korang dengan kejamnya.

Saat melihat wajah anak-anak kecil disana, jauh disudut hatiku terasa amat sayu & kesihan dengan kehidupan dan nasib yang menimpa mereka. Aku dilahirkan dengan cukup kasih sayang kedua ibubapaku, cukup makan pakai, tempat tinggal & segala-galanya. Tapi bagi adik-adik ini, kehidupan mereka aku yakin, tidak semudah dan seindah yang tergambar dari senyum tawa yang mereka zahirkan.

Keadaan ini sedikit sebanyak membuatkan aku terfikir, betapa bersyukurnya aku dilahirkan sebagai aku, bukan orang lain yang aku sendiri pun belum tahu macam mana keadaan yang bakal aku lalui. Aku punya ibu bapa yang cukup penyayang, cukup menjaga anak-anaknya dan cukup dalam memberikan didikan. Walau kehidupan kami tidaklah semewah mana, tapi harta bukan ukuran yang aku boleh gunakan sebagai kayu ukur mengukur tahap kebahagiaan dalam sesebuah keluarga, tetapi dengan adanya insan yang melahirkan kita, membesarkan kita sehingga kita bergelar manusia. Walau seburuk mana pun kelakuan kedua ibu bapa kita, tapi ia tetap insan yang perlu kita sanjung setinggi yang boleh, selagi tidak menyalahi hukum & ketetapan yang Allah aturkan.

nasihat

Melihat kehidupan anak-anak kecil disana, sudah cukup untuk membuatkan diri ini bermuhasabah sendiri. Betapa cekalnya semangat mereka, hidup tanpa kasih sayang kedua ibu bapa sejak dari kecil lagi. Walaupun riak wajah mereka ketika menerima kedatangan kami tampak ceria dan gembira, tapi aku yakin, jauh disudut hati mereka amat mendambakan kasih sayang dari seseorang sebagaimana kawan seusia mereka yang mempunyai kedua ibu bapa.

Ini dapat disokong lagi dengan sikap anak-anak ini semasa bersama kami. Bagi Rashid, aku dapat lihat kemanjaan yang dia cuba harapkan dari aku. Hampir setiap masa, selalu berkepit tidak mahu berenggang. Jika aku duduk, dia naik dan duduk atas riba aku, walau dalam keadaan segan-segan mahu. Mungkin inilah kali pertama dia dapat merasa duduk diriba seseorang, walaupun bukan kedua ibu bapa yang melahirkannya. Apa-apa yang dibuat, pasti dia akan tunjukkan pada aku, seolah-olah menagih kasih sayang dan perhatian yang lebih, kasih sayang dan perhatian yang mungkin sudah bertahun dipendamkannya.

Bila ditanya bagaimana kehidupan dia dirumah tersebut, jawapannya cuma, "takpe, tak payah la, dah biasa..". Bila ditanya lagi, jawapan sama juga yang diucap, sambil menundukkan muka dan tangan dibuat bermain-main dengan benda lain, seolah-olah menyimpan seribu satu perasaan dan tidak membenarkan aku bersimpati dengan kehidupan yang dia lalui. Aku akur dengan jawapannya. Betapa tabahnya hati anak kecil ini, cukup aku kagumi.

"Adik tinggal sini siapa jaga?". "Housemother la". "Baik tak?". Senyap, tiada jawapan yang aku terima, hanya sekadar senyuman yang diukir kepada ku. Secara logik, kanak-kanak tidak akan bercakap bohong. Diamnya pun kita dah boleh agak, mesti ada sesuatu yang ingin disembunyikan dari pengetahuan orang lain. Aku hentikan pertanyaan aku disitu, walau masih seribu satu persoalan yang ingin aku ajukan. Tapi melihat reaksi dingin Rashid, aku tidak sampai hati ingin merosakkan moodnya pada hari tersebut.

Saat kami ingin pulang, hiba juga terasa dalam diri, adik-adik ini beria-ria menyuruh kami pergi lagi menziarahi mereka keesokan hari. Kalau boleh, memang kami semua tidak puas untuk bersama anak-anak kecil ini, masa sehari suntuk terlalu pantas berlalu, tapi apakan daya kami, program yang dirancang cuma sehari. Sempat juga aku berpesan pada Rashid dan Zaidi, nanti belajar rajin-rajin, sampai dapat masuk UiTM, nanti adik boleh datang melawat adik-adik lain yang tinggal kat sini lagi, macam abang sekarang.

Cukuplah dengan kehadiran kami disana, sedikit sebanyak dapat membuatkan mereka gembira dan terhibur. Kerana Rasulullah sendiri ada berpesan supaya kita jangan mengkhianati anak-anak yatim, sebaliknya bahagiakanlah hati-hati mereka. Jika kita membahagiakan hati-hati mereka, sama jugalah kita membahagiakn hati Rasulullah sendiri, kerana Rasulullah juga merupakan anak yatim piatu. Betapa besarnya pahala jika membahagiakan hati anak-anak yatim ini.

Insya-Allah, moga kerja amal kami disana, digolongkan dalam ibadah yang diterima Allah dan diberikan ganjaran yang setimpal. Amin...

Dah, sambung buat kerja!

* T A K K A N K U L E P A S *
Read rest of entry

Saturday, March 21, 2009

Seharian Bersama

Alhamdulillah, masih diberikan kekuatan dan kesempatan untuk hidup dimuka bumi Allah ini dengan aman dan sejahtera, dengan masih lagi punya nikmat iman & Islam dalam diri, insyaAllah tetap kukuh dan teguh mendiami hati kita ini.

Dalam entry kali ini, nak berkongsi sedikit pengisian yang aku sertai pada cuti hujung minggu kali ini. Alhamdulillah, berjaya juga aku mengisi masa lapang hujung minggu dengan aktiviti yang berfaedah selain aktiviti tidur dan mengadap laptop secara bergilir-gilir tanpa hala tuju yang bermanfaat. Kerja melambung, tapi biasa la bila hujung minggu ni, belakangkan semua kerja tu. Hujung minggu adalah waktu untuk berehat..haha

Kali ini, aku telah dipilih untuk menyertai satu program yang cukup menarik dan memberi seribu pengajaran kepada diriku. Bangun pagi, mandi dan bersiap terus menuju ke satu tempat yang tidak berapa jauh dari rumah sewaku. Tempat yang dituju, Rumah Aman, Seksyen 2, Shah Alam.


Takleh nak cover diri sendiri, terpantul juga bayang diriku..

Rumah ini merupakan sebuah asrama yang menempatkan seramai lebih kurang 29 orang anak-anak yatim dari merata tempat di Malaysia. Kunjungan aku ke asrama ini adalah dibawah program anjuran kelab Netcom UiTM Shah Alam, yang merupakan kelab bagi kursus yang sedang aku duduki sekarang.

Aku pun tak pasti apa nama program ni, sebab aku pun menyertainya disaat-saat akhir malam sebelum program ni berlangsung. Tapi ia lebih kepada bermesra dengan anak-anak yatim yang berada disana disamping membuat sedikit kerja amal membersihkan sekitar asrama anak yatim berkenaan.

Seawal pagi sampai disana, kami dimaklumkan sedikit pengisian yang akan dijalankan di asrama berkenaan. Kami juga mendapat tahu, asrama ini hanya didiami oleh anak-anak yatim lelaki sahaja yang berumur dalam linkungan 4 tahun sehingga 12 tahun (agaknya...).

Program pertama, sesi ice breaking dimana setiap anak-anak kecil itu dikehendaki mencari seorang abang @ kakak dikalangan kami untuk dijadikan abang dan kakak mereka. Perkara yang pelik aku lihat, kesemua mereka hanya berebut-rebut untuk mendapatkan abang sahaja, dan tidak seorang pun pergi menyerbu kakak-kakak yang ada. Walhal kakak-kakak semua yang ada kesemua bukannya tidak cun pun, semuanya cun-cun belaka. Tapi mungkin kerana kehidupan mereka seharian yang berkisar dikalangan lelaki sahaja, mereka menjadi segan bila bertemu dengan kaum hawa.

Memang jelas dapat dilihat, mereka amat malu untuk menarik tangan kakak-kakak yang ada. Sebaliknya ada diantara kakak-kakak yang terpaksa menangkap mereka untuk dijadikan adik. Sehinggalah dipaksa pun, ada segelintir besar dari mereka tetap tidak mahu pergi kepada kakak-kakak tersebut. Sebaliknya tetap berkepit dengan abang-abang yang bilangannya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kaum hawa yang ada.

Untuk sesi ini, aku mendapat seorang adik yang cukup lincah dan hensem, mungkin comel lebih tepat..huhu.. Namanya Mohd Ikmal Rashid bin Yazid, atau nama panggilannya adalah Rashid. Rashid berumur 8 tahun berasal dari Teluk Intan, Perak. Bila ditanya dan berapa lama menetap di sini, dia pun tak tahu sejak bila dia dimasukkan ke asrama ni. Kuat bercakap dan selalu mengatakan aku ni pelik. Semua orang dikatanya pelik, kecuali dirinya saja yang tidak pelik. Jadi siapa yang pelik sebenarnya sekarang? Ternyata, adik itulah yang pelik sebenarnya..hehe

Selepas itu, adik-adik ini dikehendaki melukis muka abang dan kakak mereka. Melukis la si Rashid ni muka abang dia yang hensem nih..wakaka.. Asalnya ada ke patut, dia lukis aku ni sebagai seorang ninja. Setelah disogok dan dipaksa dengan lemah lembut, akhirnya berjaya juga aku menyuruhnya melukis muka aku mengikut keadaan yang sepatutnya. Akhirnya, jadilah seperti gambar kat bawah ni.


Baca elok-elok apa yang si Rashid ni tulis kat hujung ayat tu..wakaka

Tamat sesi pertama, seterusnya kami dibahagi-bahagikan semula kerana ada diantara adik-adik ini masih tidak mempunyai seorang abang @ kakak. Dapat la pula seorang adik lain. Namanya Zaidi. Juga seorang yang agak lincah, cuma sedikit pendiam daripada Rashid, terutama bila dalam permainan anak ayam dikejar musang. Penat juga dibuatnya bermain dengan budak-budak tu semua. Tapi best, dapat tengok keseronokan diorang bermain dengan kami abang-abang dan kakak.

Mengakhiri sesi pagi, adik-adik ini diuji kekreatifan mereka dengan bermain plastisin. Bermacam-macamlah rekaan yang mereka buat, sehingga aku sendiri pun terpegun walau tidaklah sehebat mana tapi cukuplah dengan tahap umur mereka. Si Rashid pun masih lagi mahu berkepit dengan aku, kerana dia mendapat seorang kakak pada sesi tersebut. Si Rashid, mengarut je banyak, apa yang dia buat tak jadi-jadi pun, mulut je banyak mengomen. Tapi, dia tetap best. Apa yang si Zaidi pula buat? Jom, tengok kat bawah ni.


Pemberitahuan: Jari tu sebenarnya menunjukkan tanda peace! Harap maklum.

Selesai sesi sebelah pagi, petangnya kami semua ditayangkan dengan sebuah cerita animasi Madagascar Escape 2 Africa. Program kami berakhir setelah selesai melihat cerita berkenaan. Kemudian ada la sedikit sesi bersalaman dan bergambar.


Inilah jejaka kacak dibawah jagaanku. Zaidi berbaju kuning & Rashid berbaju biru.

Puh, dan panjang rupanya entry ni. Ni belum masuk bab rumusan keseluruhan aktiviti lagi. Tapi takpe, rumusannya aku cuba karang untuk posting yang seterusnya. Sebab aku punya sesuatu yang ingin dikongsikan bersama korang semua dan ini adalah salah satu strategi bagi mengelakkan blog ini bersawang lagi. InsyaAllah, moga diberikan kelapangan masa. Tulis panjang-panjang sangat, nanti bosan pula orang nak membacanya. Tul tak? huhu..

* K U L E P A S P E R G I*
Read rest of entry

Friday, March 20, 2009

Indahnya Islam

Aku yakin, kebanyakan dari kita dah tahu berkenaan kisah ni. Tapi oleh kerana kesengalan pemilik blog ni, nak juga aku letak benda ni kat sini. Moga-moga kita sebagai umat Islam khususnya, bersyukur dan berfikir sejenak, bahawa setiap kejadian Allah itu, amatlah teliti dan penuh hikmah. Bukan sia-sia dan semata-semata untuk menyusahkan hamba-hamba-Nya.

Sekadar Bingkisan Ilmu Untuk Renungan Semua

"Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut, sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran.
 
Dia adalah seorang Doktor Neurologi .
 
Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan Melalui Al-Qur'an".
 
Kajian perubatan melalui Al-Qur'an membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Al-Qur'an. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya.
 
Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki oleh darah. Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal.
 
Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati Bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan Sembahyang!!!
 
Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk Beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam......Begitulah keagungan ciptaan Allah!!!
 
Tidak menunaikan sembahyang, otaknya tidak Akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal!!!
 
Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam 'sepenuhnya' kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini."

* P U L I H K A N I M A N *

Read rest of entry

Saturday, March 14, 2009

Umurku Setahun Jagung Dah

Sebelum tu, tuan punya blog ini ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulidurrasul 1430H yang baru sahaja beberapa hari lepas berlalu. Semoga sama-sama kita mengingati, menyayangi, mencintai dan mengikuti suruhan Rasulullah saw dan segala sunnah ikutan yang baginda tinggalkan. Jadikan baginda sebagai ikon role model serta idola dalam hidup kita selamanya. InsyaAllah, hidup kita pasti akan diberkati dan dirahmati Allah swt. Amin.

Bila baca tajuk posting kali ni, mesti dah ramai yang boleh agak kan? Inilah sebenarnya tujuan aku ajak mengira pada posting lepas, walaupun sebenarnya memang saja nak memenuhkan blog je. Jadi, apa lagi, hulur-hulur la hadiah tu ye, jangan nak buat tak reti pula. Silap hari bulan, aku geget korang semua..haha.. Tapi sebelum tu, jom kita pakat nyanyi dulu..

Fisrt, versi omputish

Hepi bezday to u..
Hepi bezday to u..
Hepi bezday to antaracitadancinta..
Hepi bezday to u..

Sekarang versi melayu lak

Allah selamatkan kamu..
Allah selamatkan kamu..
Allah selamatkan blog antaracitadancinta..
Allah selamatkan kamu..

Sekarang versi orang tak paham lak

askd asldksd laskd...
askd asldksd laskd...
askd asldksd sdljf sdnaealsdwinskd..
askd asldksd laskd...

hahaha..

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari dimana genap sudah setahun blog ini dibuka tanpa ada menteri ataupun guru besar sekolah yang merasmikannya. Begitu cepat masa berlalu, dan begitu banyak perubahan yang berlaku. Alhamdulillah, blog ini masih lagi berdiri teguh walaupun memiliki tuan punya yang semakin kurang teguh pada penulisan dan pengisiannya, semakin malas meng'update' dan semakin melupakan tanggungjawabnya pada blog ni..huhu

Bercerita mengenai sejarah, walaupun aku paling tak suka subjek sejarah, diawal-awal pembukaan blog ini, niat aku cuma satu, nak berkongsi dengan semua orang berkenaan isu cinta. Kenapa aku memilih tema ini? Dengan nama blog pun dah berbaur cintan cintun. Sebenarnya, sebelum aku membuka blog ini, aku mengalami satu situasi yang memaksa aku untuk memilih antara keduanya, cita ataupun cinta. Kalau nak diceritakan secara panjang lebar, mungkin tidak perlu aku rasakan, kerana tiada apa yang istimewa untuk diceritakan. Jadi tak payah la kan.

Disebalik pembukaan blog ini, terdapat beberapa insan yang menyokong kuat usahaku ini. Ada yang membantu dari segi teknikal permulaan berblog, membantu dari segi artikel-artikel yang ada kaitan dengan tema blog, dan yang paling penting yang membantu dari sudut sokongan pada blog ni. Jika tiada sokongan, aku pasti blog ini tidak mampu akan bertahan selama ini, walaupun baru setahun menjangkau usianya. Jutaan terima kasih buat teman-teman yang banyak membantu menyumbangkan artikel dan idea untuk dijadikan sebagai pengisian dalam blog ini. Usaha kalian, amat aku hargai dan Allah jualah yang lebih berhak untuk membalas usaha dan niat ikhlas kalian semua.

Rasanya itu saja untuk dikongsi sempena setahun pembukaan blog ini. Kesibukan kerja lain tidak dapat memaksa otak untuk terus berfikir..huhu

Adios~

* C I N T A K U S A T U *
Read rest of entry

Friday, March 13, 2009

Mari Mengira

9 .. 8 .. 7 .. 6 .. 5 .. 4 ..

Opss... Apa sebenarnya yang duk gatal nak main mengira pula ni? Dah tak ada apa nak ditulis ke? Memang pun.. Muahahaha

Takpe, moh kita sambung mengira..

3 .. 2 .. cup, tak boleh nak habiskan lagi malam ni. Ada sesuatu yang ingin dikhabarkan satu masa nanti. Just wait n see..huhu.. Suspen.. Suspen..

ntah pape je posting ni...lalalala~

* L A I W B T F *
Read rest of entry

Friday, March 6, 2009

Bila Terasa Nak Mengarut

Agak lama dah membiarkan blog ni berhabuk, bersawan, kering kontang tanpa sebarang pengisian baru. Bukannya agak lama, tapi memang lama pun. 2 minggu, memang satu tempoh yang agak lama (ke?).

Kadang-kadang jiwa ni nak saja menulis, berkongsi ilmu dan pengalaman, tapi kekangan masa sangat-sangat menghambat diri seterusnya memaksa jari jemari ni melupakan seketika keseronokan menari-nari di atas papan kekunci ni. Wah, skema habis ayat..hehe

Lebih kurang 1 bulan lebih saja lagi, semester ini bakal melabuhkan tirainya. Ini bermakna, berlabuh jugalah status aku sebagai seorang pelajar universiti. InsyaAllah, itu pun jika berjaya menamatkan semua subjek yang diambil dengan kejayaan. Jika tidak, see you again la next sem wahai uitm tercinta..huhu

Sekarang ni, mood nak menamatkan pengajian, mencari kerja, meningkatkan potensi diri atau orang putih cakap, value added pada diri sendiri semakin meningkat dan menampakkan usaha dan hasilnya. Jika sebelum ini, kerisauan untuk mendapatkan pekerjaan tidaklah menjadi isu utama yang bermain-main dalam benak kepala, sekarang ini ia bagai setiap hari menghambat dan memaksa kotak fikiran ini memikirkanya. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi sekarang ini yang menuntut usaha dan persaingan yang cukup kuat, terutamanya dengan status sebagai fresh graduate yang sememangnya peluang untuk bersaing dengan dunia luar amatlah tinggi dan peluangnya tipis, menambahkan lagi kerisauan dan kebimbangan untuk menamatkan pengajian.

Sesekali terfikir juga, lebih baik belum tamat pengajian lagi, daripada tamat tetapi menganggur, tiada kerja yang hendak dibuat. Status sebagai penganggur itu bagaikan satu bala yang terlalu berat dan menakutkan untuk dipikul. Tambahan pula dengan identiti diri sebagai lelaki yang aku bawa selama ini, memang menambahkan lagi kerisauan diri untuk menempuh alam tamat pengajian kelak. Bagaimana jika diriku tidak laku dipasaran pekerjaan? Ke mana aku nak pergi? Apa aku nak buat? Takkan la nak mengharapkan belas kasihan dari kedua ibu bapa lagi? Sepatutnya aku yang menanggung mereka, bukannya kepada mereka lagi aku meminta duit. Pening, risau, bimbang dan menakutkan.

Tapi, walaubagaimanapun, rezeki tu Allah yang tentukan. Tak kira la ekonomi itu bagus ataupun tidak, persaingan itu tinggi ataupun tidak, tapi jika Allah dah tetapkan rezeki kita sekian-sekian, pasti akan menjadi hak kita jua. Kalau macam tu, tak perlulah kita usaha apa-apa kan? Kerana rezeki itu Allah dah tetapkan. Duduk, dan tunggu jela ia datang bergolek.

Mentaliti beginilah yang perlu kita elakkan. Jangan kerana semuanya dah ditakdirkan Allah, kita malas berusaha. Jangan ingat Allah nak bagi macam tu je jika kita tiada usaha untuk mendapatkannya. Pokonya, usaha itu kena la ada, walau sekecil mana pun ikhtiar dan pengorbanan kita tu, kene la usahakan dulu. Lepas tu, baru lah nak berserah pun, kerana Allah lebih berhak nak menentukannya. Betul tak? Ha, kan dah betul tu.

Eh, apasal masuk sesi ceramah menceramah tanpa diundang ni. Niat asal nak mengarut je..hehe.. Susah juga bila dah terbiasa menulis sambil menasihati ni, ada saja benda yang nak diingatkan. Walaupun benda tu semua orang dah tahu dan sedia maklum. Tapi Allah dah pesan, kita sebagai manusia kenalah sentiasa berpesan-pesan walaupun benda itu sekecil-kecil perkara. Ini kerana sifat manusia ni memang pelupa, hari ni ingat, esok lusa belum tentu lagi akan ingat. Sebab tu lah peringatan itu penting. Ia umpama bateri la, awal-awal beli memang kuat, tapi lama-lama akan lemahlah ia. Tapi bila dicas, ia akan kembali kuat dan menjadi seakan baru. Begitu juga peringatan, sentiasa sebut dan sebut dan sebut, supaya sentiasa segar dalam benak kepala. Tujuannya, supaya manusia ini tidak lalai dan lupa dari ayat-ayat Allah.

Diri sendiri ni pun selalu saja lalai, selalu saja lupa, selalu saja buat-buat lalai dan lupa..hehe.. Yang ni memang teruk la. Kadang-kadang bagi pendukung agama ni ujian mereka lagi teruk. Kiri kanan depan belakang, ujian datang tanpa henti. Ada yang diuji dengan kesengsaraan, dan ada juga yang diuji dengan kenikmatan. Bagi yang diuji dengan perempuan-perempuan ini pun tidak kurang hebatnya. Sebab itulah tercatatnya kisah Zulaikha dan Nabi Allah Yusuf a.s yang cukup masyhur tu. Perempuan ini memang dijadikan sebagai perhiasan dunia, tetapi ia juga mampu menjadi penggoda dan asbab ujian dari Allah yang cukup berat dan sukar untuk dihadapi. Bagi yang kuat alhamdulillah, dan bagi yang lemah, hanyut dan bertambah longlai la jawabnya.

Pak imam yang berserban 3 kilo pun boleh rebah kerana perempuan, ini kan pula kita insan biasa dengan iman senipis kulit bawang, mungkin lagi nipis agaknya. Sekali diuji, bukan setakat rebah, malah jatuh tertonggeng tak bangun-bangun sampai ke sudah la.

Orang yang pernah jatuh ini, bukannya bermakna sentiasa dia akan jatuh dan tersungkur, kalah dengan ujian dan dugaan dari Allah. Malah orang yang pernah jatuh ini boleh menjadi lagi hebat dah kuat imannya daripada insan yang memang tak pernah jatuh. Ini kerana, disaat dibangun dari jatuhnya itu, ia akan membuatkan diri berfikir dan mengambil iktibar dari apa yang pernah terjadi. Sekurang-kurangnya dimasa hadapan, ia akan lebih berhati-hati dan beringat jika situasi sama berulang, ia mampu berfikir dan menangani ujian tersebut dengan mudah.

Contohnya lah, bagi seorang insan ni, jika dulu dia pernah bercinta bagai nak rak, tidur makan mandi semuanya tak senang kerana bahana cinta yang ditanggung. Tapi, bila cintanya tak kesampaian, putus ditengah jalan, maka kecewa dan pedihlah terasa dalam diri. Tapi aku bukannya nak bercakap soal kecewa dan bagaimana pedihnya putus cinta ini, cuma nak highlightkan disini, pasti insan tadi akan mula berfikir sebab dan musababnya cinta dia boleh putus. Dan sekiranya cinta barunya tiba, dia akan mula menyusun strategi dan lebih berhati-hati dalam berhubungan dengan cinta barunya. Segala perkara yang pernah dibuat dengan cinta lamanya, akan diteliti dan dikaji sebaiknya, agar perkara sama yang boleh menyebabkan cintanya tidak kesampaian berulang kembali dengan cinta barunya ini. Sebaiknya dia akan berusaha untuk tidak mengulangi perkara sama yang boleh menyebabkan cintanya putus lagi.

Ha, kan dah masuk bab cintan cintun tu..hehe.. Malas la nak membebel soal cinta ni, nanti aku jadi ingin bercinta juga. Eh, kan tak salah bercinta. Memang la tak salah, tapi kalau tak dikawal, rosak binasa dan terjerumuslah kita ke lembah cinta yang dimurkai dan tidak diredhai Allah. Macam mana nak bina sebuah masjid yang mendapat redha Allah, jika asas pembinaannya pun kita dah tak jaga dan mendatangkan kemurkaan Allah. Sedikit sebanyak, ia bakal mempengaruhi kehidupan dan anak-anak kita kelak. Betul tak? Betul la. Kalau tak percaya, cuba try test sendiri la..(^_^)

* J U J U R K U *
Read rest of entry

Sunday, February 22, 2009

Pengisian Demi Pengisian

Alhamdulillah, sempat juga mencuri sedikit masa mencoret serba sedikit untuk pengisian ruang blog karutan cintan ni. Disaat-saat genting menghabiskan semester akhir ni, memang satu masa yang cukup mencabar dan terhad. Pembahagian masa dalam sehari tu cukup penting dan memerlukan kebijaksanaan menguruskannya agar semua kerja dapat diselesaikan dan semua hak pada Allah, pada diri sendiri dan juga pada keadaan sekeliling dapat dilaksanakan tanpa ada cacat celanya. Terutama tanggungjawab dan amanah pada Allah swt.

Hujung minggu lepas, alhamdulillah aku berkesempatan juga menghadirkan diri ke dua majlis ilmu yang aku rasakan amat sesuai dan perlu aku ikuti demi mendapatkan serba sedikit ilmu dan persiapan diri dalam persediaan aku menempuh alam yang bakal aku hadapi kelak. Pengisian yang kedua-duanya hampir sama bertetapan pula dengan tarikh 14 Februari, yang mana sedia maklum merupakan hari meraikan kasih sayang antara dua insan berlainan jantina. Tapi program ini bukanlah kerana meraikan hari tersebut, yang mana semua sudah mengetahuinya bahawa telah difatwakan haram bagi umat Islam menyambutnya, tapi program ini sebenarnya sedikit sebanyak untuk membuka mata dan memberi penerangan yang sepatutnya berkenaan hari tersebut.

"Aku Dibius Cinta"

Bila saat mendapatkan keratan iklan berkenaan program ini di masjid UiTM, hatiku telah mula tertarik untuk turut sama menyertai program ini. Dengan tajuk Talkshow yang memang menarik, ditambah pula dengan barisan ahli panelnya yang aku cukup kagum dan telah lama memasang niat untuk berjumpa dengan mereka, sedikit sebanyak menambahkan lagi semangat aku untuk meluangkan masa pergi ke majlis berkenaan. Mungkin ada yang mengatakan agak feminin isu ini untuk dihadiri oleh kaum lelaki, tapi aku peduli apa. Kalau majlis macam ni saja yang tidak dihadiri takpa, ni tiap kali ada majlis ilmu, kaum hawa saja yang ramai. Adamnya entah kemana, berjuang dimedan perang agaknya. Ustaz Hasrizal ada membidas berkenaan isu feminin ke tidak ni dalam blog beliau diruangan komen, katanya "feminin sungguh hadith Rasulullah berkenaan cinta ini". Fikir la sendiri..

Hujung minggu bangun dan mandi diawal pagi bukanlah suatu yang amat menyoronokkan untuk dilakukan, terutama bagi seorang pelajar seperti ku ini. Tapi ternyata, pengorbanan tersebut tidaklah merugikan walau sedikit pun kerana manfaat yang aku dapat tika menyertai program tersebut amatlah berguna dan sukar untuk diperolehi di program-program lain seumpamanya.

Terutamanya dengan kehadiran Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, siapa tak kenal kan. Kalau cakap saifulislam.com ataupun Abu Saif, aku pasti semua pengunjung alam maya ni terutama para kalangan blogger pasti mengenali dan mengagumi insan berkenaan. Namanya yang cukup sinonim dengan dunia percintaan Islam memang sesuai dan cukup tepat sekali pabila turut sama dijemput menjadi salah seorang ahli panel pada program tersebut. Juga dengan kehadiran Ustaz Mohd Uda Kasim, yang tidak kurang menyengat dan hebatnya beliau, selalu muncul dikaca televisyen dalam program Al-Kuliyyah.

Kalau nak ceritakan kesemua ilmu yang telah aku dapat, memang cukup banyak. Kalau nak tulis kat blog ni pun, aku rasa mahu je disiapkan dalam tempoh beberapa hari. Bukannya panjang atau lambat menaip, tapi masalah nak mengingat balik kesemua tiap ilmu dan kata-kata mereka. Aku bukan recorder, yang nak ingat semuanya sekali dengan senang..huhu

Tapi sedikit perkongsian la yang aku ingin kupaskan disini, terutama berkenaan satu soalan yang telah aku ajukan pada majlis tersebut. Aku pun hairan sebenarnya, dari mana entah kekuatan yang aku dapat untuk berdiri dikhalayak ramai, bertanyakan soalan pada hari tersebut. Nampak sangat aku ni excited dengan tajuk yang dibincangkan, sampai lupa diri ni yang memang cukup pemalu dan susah nak bertanyakan soalan, lebih-lebih lagi dikhalayak ramai dan didalam program yang sedemikian. Tapi usaha ku berbaloi, disamping mendapat cenderahati dari pihak penganjur, soalan ku juga berjaya dikupas dengan menarik dan menjadi antara soalan yang menarik minat semua untuk mendengarnya. Sampaikan soalan aku didahului sebelum menjawab soalan-soalan lain.

Menurut Ustaz Uda Kasim yang telah menjawab soalan ku pada hari tersebut, dalam soal menentukan masa dan keadaan yang sesuai untuk berjinak-jinak dengan cinta ni, salah dan tidak perlu ditetapkan bila dan dimana perlu kita mula bercinta. Ini kerana cinta hadir tanpa kita duga, cinta kadang-kadang hadir saat kita tidak pinta dan bersedia untuk menerimanya. Cinta perlu dipupuk sejak kecil lagi, kerana dengan cintalah manusia dapat menyayangi antara satu sama lain dan sekaligus mewujudkan suasana aman dan tenteram dimuka bumi Allah ini.

Cinta dangan dihalang, sebaliknya terimalah cinta dengan seadanya dan kawallah cinta berkenaan sebaiknya dan sewajarnya. Yup, aku setuju dan inilah antara nasihat-nasihat yang selalu kita dengar pabila bercakap soal cinta ni. Kadang-kadang orang menyalah anggap dan menetapkan syarat untuk mula berjinak-jinak dengan cinta. Terutamanya soal masih belajar dan tidak punya pekerjaan tetap lagi yang selalu dijadikan alasan dan penghalang untuk mula bercinta.

Tapi perkara ini bergantung sebenarnya, kerana mungkin bagi sesetengah orang dengan cinta dapat membuatkan diri mereka makin berjaya dan makin dekat dengan Pencipta. Ini tidak salah, dan amatlah baik untuk dijadikan contoh. Tapi sebaliknya bagi yang tidak dapat menerima cinta disaat masih belum bersedia dari segi material dan fizikal, sebab itulah pengawalan itu penting. Jangan ditolak cinta, tapi pupuklah ia sebaiknya. Eh, incik lisam ni nak menggalakkan orang bercinta ke? Entah..huhu

Diakhir program, sempat juga aku kejar Ustaz Hasrizal. Dengan 1 tujuan, "Ustaz, nak bergambar boleh?", hehe.. Bukan senang nak jumpa ni, jadi alang-alang dah jumpa, ambil kesempatan terus la. Nasib la Ustaz ni sporting, senyum saja bila mendengar permintaan ku itu. Apa lagi, alhamdulillah, berjaya juga snap sekeping gambar dengan Ustaz. Nak minta banyak-banyak dengan aksi pose yang berbagai-bagai takut disekeh Ustaz pula..ngehehehe

"Dari Mata Turun Ke Hati"

Malamnya pula, alhamdulillah kerana dipilih juga untuk menghadiri program yang hampir sama, tapi berlainan tempat, tajuk dan ahli panelnya saja. Tapi tujuan dan matlamat tetap sama, menbincangkan isu hangat berkenaan cinta.

Program ini diadakan di Dataran Cendikia, UiTM Shah Alam. Dihadiri seperti biasalah, penuh dengan yang bertudung dan berkain bunga-bunga saja. Yang berkopiah dan berseluar, membantu saudara Islam Palestin berperang dengan Israel agaknya. Silap, kononnya..

Antara ahli panelnya adalah Ustaz Pahrol Juoi, Ustaz Hafizi Andullah yang juga seorang saudara Islam baru, dan seorang pelajar UiTM, Saudari Maizan yang merupakan JPK bagi Kolej Mawar, UiTM. Perbincangan yang agak menarik, dan berjaya juga memberikan input-input yang berguna walaupun kadang-kadang lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Tapi agak menarik mendengar kisah bagaimana Ustaz Hafizi boleh terbuka hati memeluk Islam, sedangkan dengan kejahilan yang digambarkannya sebelum memeluk Islam itu seperti tidak memungkinkan beliau untuk mengenal dan seterusnya memeluk Islam, sehinggalah ditangkap dan dipenjarakan. Disitulah beliau mula berfikir dan memuhasabah diri. Alhamdulillah, dengan hikmah dipenjarakan itu, akhirnya beliau diberikan hidayah oleh Allah untuk terus mengenal Islam sehinggalah berjaya memeluk agama Islam sehingga sekarang. Alhamdulillah, pujian bagi-Mu ya Allah. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang berhak memberikan hidayah-Mu pada sesiapa yang Engkau ingini.

Malam tu agak panas juga, terutama bila Saudari Maizan mengaitkan isu berpakaian dikalangan muslimah terutamanya muslimah-muslimah di UiTM ini. Memang aku tak sangkal dakwaan dan kekesalan yang diluahkan saudari berkenaan, memang benar dan tepat. UiTM pun terkenal dengan pelajarnya yang agak sosial dan berpakaian yang entah apa-apa bila ke kelas. Aku sendiri naik berbulu biji mata nak melihatnya. Toleh kanan nampak, toleh kiri nampak, toleh atas pun nampak. Nasib bila toleh ke bawah tak ada, kalau tak mau je aku pijak sampai lumat. Wakaka, cam berani je..hehe

Eh, mana pengisian berkenaan cinta? Entah, dah ini je yang sempat aku recall. Lagipun isu berkenaan cinta ni tak kan habis nak diperkatakan. Kerana jika tiada kesedaran dalam diri masing-masing, kita persoalkan macam mana pun, mereka tetap dengan pendirian mereka, dan mereka kalah dengan dengan perasaan sendiri. Aku? Ermmmm.....huhu

Panjang pula bebelan kali ni, kata sibuk, tapi macam rilek bebenor jer. Sibuk tu memang la sibuk, kerja banyak, tapi banyak lagi masa yang dibuang..ekekeke

* M A A F K A N D A K U *
Read rest of entry

Tuesday, February 10, 2009

Perasaan Dan Persediaan

Bila tiap kali perkataan CINTA diungkap, sesiapa sahaja pasti akan tertarik untuk membaca dan mengetahui apakah pengisian dan cerita yang ingin disampaikan. Bila sesekali melewati forum-forum samada forum berbentuk Islami mahupun forum-forum biasa, isu ini tidak sunyi diperkatakan dan dibincangkan. Selalunya thread yang sebeginilah mendapat tempat yang tertinggi dari segi hint mahupun reply post daripada ahli-ahlinya. Ada sahaja yang ingin dikongsi dan diluahkan pendapat, yang serba banyak menampakkan manusia ini cukup berminat dan sensitif dengan isu berkenaan CINTA ini.

Jika dilihat dari sudut yang positif, CINTA itu tidaklah merupakan suatu perkara yang dilarang, kerana perasaan ini adalah satu anugerah dari Allah swt yang cukup bernilai kepada hamba-hambanya. Setiap makhluk ciptaan-Nya pasti disemai dengan perasaan ini walhal ianya adalah seekor haiwan sekalipun. Tujuannya adalah untuk menyemai rasa sayang yang sekaligus membawa kepada kemakmuran dan kesejahteraan dimuka bumi ini.

Perasaan CINTA, seringkali ia datang tanpa diundang, dan ia pergi tanpa dipinta. Kedatangannya membawa seribu kenikmatan tetapi sekali ia pergi, sejuta keperitan yang dirasa. Mencintai seseorang mungkin sekejap sahaja kita mampu lakukan, tapi untuk melupakan insan yang pernah kita cintai, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Tidak hairanlah jika ada yang mengatakan episod hidup mereka sudah berakhir bila kehilangan insan yang dicintai.

Menjadi seorang remaja yang meningkat dewasa, dengan usia yang sudah pun melebihi angka 23 walaupun baru beberapa bulan, perasaan cinta dan ingin dicintai bukanlah suatu perkara yang agak asing dan perlu dibendung mahupun dielakkan lagi. Sekali ia datang menghinggap diri, susah dan amat sukar untuk dielakkan. Ia seolah-olah menghantui diri dan mengejar walau kemana pun kita lari. Ia umpama bayang, selalu hadir bila siang mahupun malam, setia mengekori dan bersatu pada diri kita setiap masa. 

Jadi, kena perlu mengelak lagi? Kerana ia merupakan anugerah dari Allah swt buat diri kita. Sebaliknya pengurusan dan pengawalan perasaan CINTA itulah yang perlu mengambil tempat untuk dilaksanakan. Jangan terus hanyut dan tertipu dengan perasaan ini yang tidak menjamin apa-apa lagi buat diri kita selagi akad tidak dilafaz.

Aku bukanlah seorang yang cukup sempurna dalam menentukan hala tuju hidup. Selalu berfikiran jauh kehadapan dan suka berangan dengan kehidupan yang aku impikan kelak. Disebalik memikirkan kerjaya, topik berkenaan perkahwinan seringkali memaksa kotak pemikiranku ini untuk turut memikirkannya. Persoalan berkenaan calon, merisik, bertunang dan seterusnya ijab dan kabul memang selalunya menjadi antara perkara wajib untuk difikir dan dibayangkan. Kehidupan selepas berkahwin, mempunyai anak dan seterusnya corak dan didikan yang sepatutnya aku berikan kepada zaujah juga anak-anakku kelak selalu sahaja aku fikirkan dan aku rancang strategi-strategi yang patut aku persiapkan untuk menempuh alam berkenaan kelak. Kerana aku bakal menjadi ketua keluarga, seorang imam dan juga peneraju kepada bahtera yang akan aku layari kelak.

Mungkin perkataan seperti, "awalnya dah fikir nak kahwin, belajar pun belum habis", pernah dilontarkan pada diri kita. Seringkali manusia menjadikan masa belajar adalah penghalang untuk terus memikirkan berkenaan soal perkahwinan. Habis belajar dijadikan antara syarat untuk mula berfikir mengenai CINTA. Jika ia datang disaat pengajian belum sempurna, adalah kita perlu memaksa diri menolaknya sedangkan hati dan perasaan sendiri terseksa? 

"Bermujahadahlah, lawan perasaan tu, insyaAllah jika dia dah jodohmu, pasti suatu hari nanti akan menjadi milikmu jua", kata-kata keramat dan nasihat yang cukup glamour diucapkan. Cukup ke hanya dengan duduk diam tanpa usaha kerana ianya adalah satu ketentuan dari Allah? Jika begitu, kenapa Rasulullah dulu bersusah payah mengubah nasib ummatnya sedangkan baginda boleh untuk bersenang lenang goyang kaki kerana Allah swt dah menjamin akan mengubah masyarakat baginda dengan Islam.

Aku percaya, Allah swt pasti memberikan sepenuh kebebasan kepada ummatnya untuk merubah dan menentukan nasib meraka. Sebab itulah kita digalakkan untuk berusaha dan terus memperbaiki diri untuk merubah nasib diri sendiri. Jika tidak, buat apa kita susah-susah belajar, sedangkan takdir Allah telah pun tersedia didepan mata kita nanti. Tunggu dan tunggu saja lah ketentuan Allah itu.

Dalam soal CINTA pun sama, usaha kita kena ada, tawakal kita hanyalah selepas berusaha bersungguh-sungguh. Konsep dan praktikal usaha itu pun kita kena perhalusi sebaiknya, agar tidak terjebak dengan usaha dan kelakuan yang di tegah Allah swt.

Azam dan keinginan aku adalah untuk membina sebuah keluarga yang baik dan penuh dengan rahmat serta keredhaan dari Allah swt. Biarlah keluarga yang akan aku bina kelak, jauh lebih baik daripada keluarga aku sekarang ini. Anak-anak yang bakal zaujahku lahirkan kelak, akan aku didik dengan sebaik didikan yang jauh lebih baik dari apa yang aku dapat dari kedua ibubapaku sekarang.

Disinilah perlunya persediaan, dan persediaan itu tidak akan sempurna jika menunggu saat-saat akhir sebelum disatukan baru hendak difikirkan. Jadi, bermula dari sekaranglah persediaan itu perlu. Setahun, dua tahun persediaan tidak terlalu awal mahupun merugikan, malah berbaloi untuk menempuh kehidupan yang jauh lebih lama kelak. Ia mampu mempersiapkan diri dengan sesempurna yang mungkin demi kehidupan berkeluarga yang akan ditempuhi nanti. Lebih-lebih lagi diriku sebagai seorang lelaki, yang akan menjadi suami dan secara automatiknya seorang ketua keluarga yang akan menerajui sebuah institusi kekeluargaan, dan institusi ini insyaAllah akan menjadi sebuah institusi kekeluargaan Islam yang berjaya dan mendapat keredhaan dari Allah. InsyaAllah, itu azamku.

"Lelaki yang baik, adalah untuk perempuan yang baik".

Soal pemilihan pasangan memang patut dititikberatkan dari saat awal membina sebuah masjid. Ini merupakan satu titik awal perjalanan hidup berkeluarga kita kelak. Dan Rasulullah sendiri ada bersabda, "perempuan itu dikahwini kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kecantikannya dan kerana keagamaannya. Maka utamakanlah yang berAGAMA nescaya kamu mendapat kebahagiaan". Disini dapat dilihat bagaimana sebenarnya konsep memilih pasangan untuk dijadikan teman hidup kita kelak. Dan dalam satu hadis baginda yang lain, ada turut dinyatakan jika ada seorang lelaki soleh meminang seorang perempuan, hendaklah diterima pinangan tersebut. Betapa besarnya ciri agama yang perlu dititik beratkan ketika saat memilih pasangan ini. Kerana dengan agamalah akan mewujudkan satu kehidupan yang sempurna selaras dengan kehendak agama, bertolak ansur dan bersederhana.

Apakah masih terlalu awal untukku memikirkan soal ini? Tidak, kerana melalui pemikiranlah akan membentuk persediaan. Kerisauan memikirkan tanggungjawab yang bakal dipikul akan dengan sendirinya membuatkan kita menilai diri, adakah sudah cukup bersediakah diriku ini untuk memikul tanggungjawab yang besar itu? Adakah sudah cukup ilmu yang perlu aku sematkan didalam dada sebagai bekal untuk aku melayari bahtera perkahwinan aku kelak? Cukup bersediakah diri aku untuk mendidik anak-anak aku kelak? Bagaimana jika aku gagal mendidik mereka? Apa yang akan terjadi pada mereka kelak? Aku ini tempat bergantungnya zaujah dan anak-anakku, pelindung, pendidik dan juga imam yang mereka akan ikuti dan contohi, tapi adakah aku ini sudah cukup sempurna untuk menjadi role model bagi mereka?

Pokok pangkalnya adalah kedua mempelai yang akan disatukan. Jika cukup persediaan mereka, insyaAllah, akan sempurnalah kehidupan yang mereka impikan selama ini. 

Insan yang aku dambakan bukanlah seorang insan yang sempurna semuanya, kerana manusia tidak akan lari dari kekurangan disebalik kelebihan mereka. Kerana pada hakikatnya, diriku jua punya kelemahan yang akan dirasai oleh pasanganku kelak. Mungkinkah dia mampu menerimanya, ataupun jelek dengan kelemahanku itu. Sebab itulah diajarkan supaya melebihkan agama bila memilih pasangan, kerana insyaAllah hanya dengan agamalah yang akan membuatkan seseorang itu sedar dengan hakikat kekurangan ini dan menerima seadanya pasangan mereka.

Cuma apa yang aku harapkan, zaujah yang juga bakal ibu yang akan melahirkan zuriatku kelak, biarlah seorang yang aku cintai sepenuhnya bukan kerana paksa. Begitu juga dipihak dia, biarlah menyintai dan memilihku dengan seikhlasnya tanpa sebarang kesangsian. Kerana sekali silap memilih, akan menyebabkan bertahun-tahun hidup merana.

Perbaiki dan persiapkanlah diri sebaiknya. Aku dipihak aku, dan dia dipihaknya. Aku menjaga akhlakku, dan dia juga memperelokkan akhlaknya. Aku mahukan dirinya menjadi peneman yang baik pada diriku, dan aku juga berusaha akan menjadi pendamping yang terbaik buat dirinya. Aku inginkan kesetiaannya sepenuhnya pada diriku, dan aku juga akan curahkan sepenuh kesetiaanku pada dirinya. Aku mahukan dirinya menjadi seorang ibu yang baik kepada anak-anak, dan aku juga akan menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak. Menerima teguran dan sedia untuk ditegur. Bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain. Menunaikan peranan dan bukan hanya sekadar mempersoalkan hak yang tidak habis-habis seperti karangan Ustaz Hasrizal dalam buku Aku Terima Nikahnya itu.

Siapakah sidia itu? InsyaAllah, bila dirinya hadir kelak pasti akan diketahui. Buat masa sekarang, biarlah ia menjadi rahsia demi menjaga kepentingan dan sensitiviti diri masing-masing. Doakanlah moga dipermudahkan segalanya, dan diberikan kekuatan untuk menempuh segala macam cabaran dan halangan dalam usaha kami melangkah ke alam yang dihalalkan segalanya, alam penyatuan CINTA dan KASIH SAYANG atas dasar CINTA dan SAYANGnya kepada Allah  dan Rasulullah saw.

Huh.. Jauh otakku berkhayal, entah kemana lagi ia akan pergi dan pergi. Biarkanlah, akan aku lepaskan ia pergi sejauhnya, asalkan ia tahu untuk kembali pada diriku..ngehehehe (berfalsampah pulak)

* I K U T I M A N P A N D U H A T I *
Read rest of entry

Sunday, February 8, 2009

Harga & Nilai Thiqah

Lama sudah membiarkan ruang blog ini tidak diisi dengan satu pengisian yang berguna dan memberi input yang bermanfaat buat pembaca juga yang tersinggah ke sini. Alhamdulillah, malam ni ada lah menggodek-godek khazanah harta bukan karun fail-fail di dalam laptop aku ni, dan terjumpalah satu artikel yang agak menarik membincangkan berkenaan thiqah. Bagi golongan pendakwah, usrah dan jemaah, aku rasa perkataan ni tidaklah begitu asing bagi mereka, tapi bagi yang kurang berjinak-jinak dengan semua ini, pasti berkerut dahi saat membaca perkataan ini.

Thiqah, satu perkataan yang sangat diidamkan untuk dijadikan title bagi seorang pendakwah. Tanpanya, sesebuah dakwah itu tidak mungkin akan berjalan dengan sempurna seperti yang diharapkan. Selalu orang menyalah anggap thiqahnya seseorang itu hanyalah pada penampilan dan perbuatan semata-mata. Sehinggakan ada yang sanggup berubah sikap, semata-mata ingin dilihat sebagai seorang yang thiqah. Seorang yang lahir dengan keadaan diri yang ceria, suka bergelak-gelak dan bergaul dengan orang sekeliling, sanggup bersikap hipokrit, diam dan tunduk sentiasa kerana ingin dikatakan seorang yang thiqah. Sedangkan dirinya sendiri pun tidak selesa dengan keadaan tersebut. Jadi bukanlah satu penilaian yang baik untuk mengukur ke thiqah an seseorang itu melalui sudut ini.

Jadi, untuk mendapatkan maklumat dan penerangan yang lebih jelas apakah yang dimaksudkan dengan thiqah ini, bagaimana mengukur seseorang itu thiqah dalam perjuangannya, eloklah diteruskan pembacaan seterusnya.

Thiqah
dalam Ilmu Hadith adalah sifat yang diberikn kepada perawi yang mempunyai sifat-sifat tertentu yang melayakkan periwayatan hadithnya diterima. Dalam amal dakwah, thiqah adalah sifat yang diberikan kepada seseorang atas keperibadian mulia yang dimilikinya & kemampuannya untuk menjalankan tugas dakwahnya. Thiqah dalam amal dakwah mengakibatkan seseorang itu dipercayai untuk melakukan tugas, diterima pendapat & kata-katanya & dihormati keperibadiannya.

Thiqah adalah status yang perlu dmiliki oleh semua penggerak dakwah. Tidak kira samada dia adalah pemimpin atau pengikut. Kewujudan thiqah membolehkan pemimpin dihormati & ditaati oleh pengikutnya sementara pengikut pula akan diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab dakwahnya. Thiqah jugalah yang memastikan kemesraan antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain.

Jadi bayangkan lah jika thiqah telah luput dari kalangan kita, pemimpin telah hilang thiqah terhadap pengikutnya & pengikut telah hilang thiqah terhadap pemimpinnya, yang muda telah hilang thiqah pada yang tua, rakan-rakan seperjuangan sudah hilang keyakinan sesama mereka. Organisasi akan porak peranda, amal dakwah akan tergendala, tanggungjawab akan terabai & setiap pihak yang terlibat pastinya akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala.

Apakah yang dapat mewujudkan thiqah pada seseorang?

Thiqah wujud apabila terpancar dari keperibadian seseorang itu segala nilai-nilai murni hasil dari penghayatannya terhadap Islam & perjuangannya. Di antara nilai-nilai ini, yang paling penting ialah keikhlasan, amanah & jujur dalam semua hal.

Jika sedikit sahaja orang tahu bahawa kita ini tidak ikhlas, amanah @ jujur, orang tidak akan lagi mempercayai kata-kata kita @ mentaati perintah kita @ menghormati keperibadian kita. Akibat paling buruk dari situasi ini ialah berleluasanya fitnah & tohmah & hilangnya hak ukhwah.

Perlu difahami bahawa thiqah juga adalah natijah dari ikatan hati antara manusia. Membina keikhlasan, amanah & kejujuran bukan satu perkara yang mudah bagi kita. Ia menuntut satu mujahadah yang panjang & sukar. Mengikat hati-hati manusia juga bukan satu perkara yang mudah.

Ertinya membina & memperolehi thiqah bukan satu usaha yang mudah. Thiqah menuntut satu pembayaran harga yang tinggi untuk memperolehinya. Ironisnya, thiqah begitu mudah untuk hilang dari kita. Ia hanya memerlukan sedikit kesilapan dari kita @ sedikit buruk sangka dari orang lain @ fitnah ke atas kita, maka hilanglah apa yag telah dibina selama ini dengan harga yang mahal.

Sekali thiqah hilang, sukar untuk diperolehi semula & jika ini berlaku, yang pertama sekali perlu disalahkan ialah diri kita sendiri.

Bagi pejuang dakwah, thiqah adalah sesuatu yang terlalu bernilai untuk dikorbankan kerana tanpanya bagaimana orang akan menerima ajakannya kepada Islam & bagaimana organisasinya akan diterima oleh umum.

Peliharalah thiqah orang terhadap kita, berilah thiqah kepada mereka yang berhak & layak & jauhilah dari mencabuli kehormatan orang yang kita merasa sukar untuk men thiqah nya lagi.

* P E R E L O K D I R I *
Read rest of entry
 

© 2010 Antara Cita dan Cinta Copyright © 2009 Black Nero is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal