"Saya rasa Allah dah pilih awak untuk menjadi pasangan hidup saya. Saya dah buat istikharah, saya dah minta petunjuk dari Allah. Alhamdulillah, pada awalnya saya rasakan ianya cuma mainan nafsu jahat semata, tapi kini saya seolah mendapat keyakinan dari Allah. Ya, saya yakin, cukup yakin yang awaklah insan yang sudah ditetapkan untuk menjadi pasangan hidup saya, tulang belakang saya, dan imam bagi solat dan kehidupan saya kelak."
Gedebuk!! Seorang jejaka terjatuh dari kerusinya. Air liur meleleh-leleh disertai buih putih membasahi sehingga ke kolar bajunya. Matanya berpinar-pinar membayangkan bait ayat yang bacanya sebentar tadi. Terkejut? Tersentak? Aku pun sama, terkejut dan turut sama-sama merasai kesentakkannya.
Bayangkan, jika suatu hari nanti, secara tiba-tiba seorang insan yang kita sendiri tidak kenali, tidak terlintas sekalipun didalam fikiran kita untuk bertemu dan mengenali insan tersebut, tetapi satu hari ia datang dengan membawa bersama satu imej dan peribadi yang cukup indah, cukup menawan dan cukup sempurna dimata kita. Jika dikira, dihitung dan ditolak bahagi, peribadi dan penampilan yang dibawanya memenuhi secara keseluruhan kriteria dan ciri yang selama ini kita idam-idamkan untuk menjadi teman hidup yang halal lagi sah bagi kita. Cair bukan?
Ya, dalam hidup ini, tanyalah pada siapa sekalipun, aku percaya semuanya inginkan dan berangankan untuk mendapat seorang pasangan hidup yang baik dan beriman. Lebih-lebih lagi jika diri kita sendiri pun boleh la dianggap dalam kategori orang yang sedar pasal agama, lagi la akan mendambakan seorang insan dikalangan baik-baik dalam semua kategori, terutamanya dalam bab pegangan agama dan penampilan diri, yakni cara berpakaian dan pergaulan seharian. Semuanya kita mahukan yang baik-baik, dan tiada pun yang inginkan pasangannya lebih teruk dari dirinya sendiri.
Tapi kadang-kadang kita selalu tidak mendapatkan seperti yang kita angankan. Standard yang kita letakkan cukup tinggi, semuanya dimahukan sempurna, kerana dengan sikap perasan kita yang merasakan diri sudah teralu bagus, maka berhak mendapatkan yang paling bagus, tetapi Allah memberikan kita insan yang sedikit rendah dari standard yang telah kita tetapkan. Jadi bagaimana penerimaan kita dengan pemberian dan ketetapan Allah itu? Bagi yang betul-betul beriman, insyaAllah redha melebihi dari segala-galanya. Bagi yang berimannya hanya pada luaran semata, bagaimana pula? Penyesalan dan penyalahan takdir bakal dia lakukan. Pasangan direndah-rendahkan, dan dirinya dianggap terlalu suci dan tidak layak untuk didekati pasangannya.
Bagaimana pula dengan kes sebaliknya?
Memandangkan dirinya yang punya banyak kelemahan, kekurangan dan keburukan, memaksa dirinya untuk meletakkan standard yang sama ataupun mungkin lebih sedikit cuma dari dirinya. Sekadar berserah bulat-bulat pada ketentuan Allah untuk menentukan pasangan hidupnya. Tapi ditakdirkan Allah, dia mendapat pasangan yang jauh sangat lebih baik dan beriman dari dirinya sendiri. Mungkin bagi seorang wanita, ini merupakan rahmat dan anugerah yang cukup berharga buat dirinya, kerana wanita sendiri itu telah pun dianugerahkan dengan sifat suka dipimpin berbanding memimpin. Lalu diterima pinangan dan majlis dilangsungkan dengan gembiranya.
Tapi jika hal sama terjadi kepada seorang lelaki, aku tidak merasakan ianya satu perkara yang boleh mengembirakan dirinya, mungkin bukan semuanya. Kerana sikap seorang lelaki itu cukup jauh dalam penilaian dan pandangannya. Risiko dan kesan didahului dari segalanya berbanding kenikmatan dan keseronokkan yang bakal diperolehi. Memikirkan soal tanggungjawab sebagai seorang iman untuk memimpin zaujahnya, agak sukar untuk dirinya menerima seorang wanita yang mempunyai tahap keimanan yang terlalu tinggi berbanding dirinya. Ia seolah meletakkan diri sendiri diatas satu tempat yang begitu rendah dihadapan zaujahnya sendiri. Dan inilah hikmah Islam menyatakan berkenaan sekufu dalam perkahwinan, yakni mencari pasangan dari kalangan yang sama taraf dan kedudukan dalam segala segi. Ini bagi mengelakkan masalah yang bakal timbul dimasa akan datang dan seterusnya bakal memporak perandakan sesebuah institusi kekeluargaan.
Melihat kepada kedua-dua senario diatas, jelaslah menunjukkan soal membuat pilihan yang tepat dalam menentukan pasangan hidup amatlah penting. Senario satu menunjukkan insan yang memilih pasangan yang baik mengikut keinginannya sendiri, tetapi dalam senario kedua menunjukkan dirinya terpilih untuk mendapatkan pasangan yang jauh lebih baik dari dirinya sendiri.
Bagaimana dengan diri kita? Adakah kita kelak tergolong dalam kategori yang memilih ataupun yang terpilih? Ataupun mungkin dalam kehidupan sekarang, bagi yang sudah mempunyai pasangan hidupnya sendiri, tidak kiralah secara yang sudah halal ataupun belum lagi dihalalkan, adakah kita memilih untuk medapatkan pasangan yang seperti pasangan kita itu, ataupun kita terpilih untuk mendapat sidia?
Tepuk dada tanyalah iman. Adakah kita akan memilih pasangan mengikut kehendak sendiri, atau kita berdoa agar menjadi antara golongan yang terpilih untuk mendapatkan pasangan yang baik-baik dan soleh solehah melebihi diri kita sendiri. Bagi sesetengah diantara kita yang sudahpun mendapat seorang insan yang baik, peganglah ia sebaiknya. Dan bagi yang dalam usaha mendapatkan pasangan, ukurlah baju dibadan sendiri. Lihatlah kebaikan dan keburukan yang ada dalam diri kita. Janganlah meletakkan ciri yang terlalu tinggi dalam soal memilih pasangan hidup. Sebaliknya jika diletakkan pada tahap yang lebih rendah sekalipun, jika diizinkan Allah kelak kita akan mendapat pasangan yang sedikit lebih baik dari standard yang kita tetapkan itu, insyaAllah kita akan lebih menghargai dan menerima pasangan kita itu dengan lebih baik dan penuh keredhaan pada Allah.
Ya Allah, bantu aku dalam membuat pilihan agar pilihan yang aku lakukan kelak tidak dipengaruhi nafsu buas dan hasutan syaitan. Sesungguhnya kepada Engkaulah aku berserah segala urusan dan ketentuan, dan kepada Engkaulah jua aku memohon rahmat dan keberkatan dalam aku meneruskan kehidupanku dibumi-Mu ini ya Allah..
* A K A N D I P I L I H *