Alhamdulillah kerana masih lagi berpeluang untuk mengecap nikmat Allah, mengakhiri tahun 1429H dan sama-sama menyambut kehadiran 1430H pada kali ini. Kehadiran tahun baru Islam yang amat-amat ditunggu dan dirai pada setiap tahun. Mungkin bagi sesetengah sahaja yang meraikannya, berbanding lebih ramai yang suka menyambut kehadiran tahun baru masihi berbanding tahun baru hijrah walaupun namanya Islam dan agama anutannya juga Islam. Bertudung, berkopiah mahupun berbaju kurung cantik labuh menginjak ke tanah, kadang-kadang lebih suka memandang sebelah mata kehadiran tahun baru Islam ini.
Sempena kehadiran tahun baru hijrah ni, seperti biasalah stesen-stesen tv di negara ni, menayangkan rancangan-rancangan yang berunsur Islam yang lebih kepada motif penghijrahan dari keadaan diri yang kurang baik kepada yang lebih baik dan dekat kepada Allah. Alhamdulillah, malam ini aku berkesempatan diberikan keizinan dan kelapangan masa oleh Allah untuk bersama-sama teman serumahku menghayati satu drama tv yang agak menarik dan banyak memberikan pengajaran dan input berguna sempena menyambut tahun baru hijrah ni.
Jalan cerita yang aku rasakan cukup baik diolah dengan sempurna bagi memberikan kesan dan impak yang maksimum kepada penonton terhadap motif dan pengajaran yang ingin disampaikan. Walaupun dengan kehadiran pelakon seksi Fasha Sandha sebagai pelakon utama(rasanya la), sedikit sebanyak mengganggu gugat juga pandangan mata, tapi apa yang lebih penting, penyampaian pengajaran dan matlamat sebenar cerita tersebut kepada penonton.
Cerita ini mengisahkan kehidupan 2 keluarga yang hidup tidak mengikut ajaran Islam yang telah digariskan dalam al-Quran dan dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. Kehidupan seharian yang penuh dengan kepesongan dan dosa banyak memberikan pengajaran dan kesedaran kepada penonton yang rata-rata pada pandanganku sekarang ni memang hidup mengikut apa yang digambarkan dalam cerita tersebut.
Memang benar, terkadang manusia ini lebih suka melebihkan perkara-perkara sunat berbanding daripada perkara-perkara yang wajib dikerjakan. Bersedeqah, menolong orang yang lebih susah, memberikan perlindungan kepada yang memerlukan, tapi pada hakikatnya tidak bersolat. Hancur lebur dan sia-sialah segala amal kebaikan yang dilakukan tadi kerana berpunca dari satu sebab, yang wajib disunatkan dan yang sunat diwajibkan. Contoh paling senang boleh dilihat bila mana tibanya hari raya. Berpusu-pusu umat manusia menuju ke masjid, memenuhi setiap genap ruang masjid untuk bersolat SUNAT hari raya, tapi pada waktu-waktu WAJIB lain, semuanya hilang entah kemana. Inilah yang dikatakan sunatkan yang wajib dan mewajibkan yang sunat.
Inilah yang digambarkan dalam kehidupan keluarga pertama dalam cerita tersebut. Hidup penuh maksiat, solat entah kemana, kaki botol, tidak menutup aurat dan meninggalkan amalan-amalan wajib sebagai seorang Islam. Tapi dalam masa yang sama, menolong orang yang dalam kesusahan. Ringan tangan menghulur bantuan kepada insan yang memerlukan. Hasilnya? Sia-sia semuanya.
Berlainan pula dengan kehidupan keluarga kedua. Kalau dilihat dari luarannya, memang nampak cantik, nampak elok, nampak beriman dan mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna. Tapi pada hakikatnya, Islam yang diamalkan itu tidaklah Islam seperti yang diajar oleh Rasululllah s.a.w. Banyak kekurangan dan banyak yang tidak betul. Solat, tapi solatnya tidak mampu untuk menjadikannya seorang muslim yang benar-benar muslim. Hidup menyendiri dan tidak bercampur dengan orang-orang kampung. Suka menabur fitnah dan memandang hina kepada seorang insan bergelar wanita. Baginya, isteri patut patuh setiap kata-katanya dan dirinya sebagai suami kena berkeras dan tegas dengan isteri. Anak-anak dilarang ke masjid sebaliknya hanya disuruh bersolat dirumah sahaja. Bekerja sambil lewa, selalu curi tulang dan melengah-lengahkan kerja. Sehingga menyebabkan kesukaran dan kesulitan kepada orang lain.
Jika dilihat dari kaca mata seorang muslim yang sebenar, kedua-dua keluarga ini tiadalah beza pun. Sama tapi tidak serupa. Kehidupan yang jauh terpesong dan tidak mengikut apa yang telah digariskan dalam al-Quran. Teringat kata-kata seorang pelakon dalam rancangan tersebut, "Saya solat, tapi solat saya tidak mampu untuk menjadikan saya seorang muslim yang berguna". Ya, inilah yang terjadi dalam masyarakat sekarang ini. Rata-rata memang bersolat, tapi maksiat tidak ditinggalkan. Hidup mengikut kehendak nafsu seolah-olah tidak beragama dan Allah itu tiada apa-apa pun bagi mereka. Islam pada nama, tapi bukan pada amalan dan cara hidupnya.
Jadi, bersempena dengan kehadiran Maal Hijrah ni, marilah sama-sama kita muhasabah diri, menilai diri, melihat sejauh mana penghayatan kita sebagai seorang muslim yang sebenarnya sepanjang tahun 1429H lepas. Sebanyak mana pahala dan setinggi mana dosa yang telah kita pikul selama setahun ini. Bagaimana pula dengan pengorbanan kita pada agama, pada ibu bapa, pada keluarga, pada kawan-kawan sekeliling, dan yang paling penting pengorbanan kita terhadap diri kita sendiri. Sejauh mana berjayanya mujahadah kita melawan nafsu dan godaan syaitan pada diri sendiri.
Berhijrahlah dari keadaan yang kurang baik, kepada baik, dari yang baik kepada yang lebih baik, dari lebih baik kepada yang terbaik, insyaAllah. Jika niat kita ikhlas, beserta dengan usaha yang bersungguh-sungguh, Allah pasti akan memudahkan segalanya buat kita. Jika ada halangan yang mendatang, anggaplah ia sebagai cubaan dan ujian dari Allah bagi menguji sejauh mana keihklasan dan kekuatan kita untuk berubah. Semakin kuat ujian yang kita terima, semakin dekat kita pada Allah, dan semakin sayanglah Allah pada diri kita.
Salam Maal Hijrah 1430H buat semua pengunjung blog tidak seberapa ini. Moga sepanjang penubuhan blog ini, sedikit sebanyak dapat memberikan input dan peringatan yang berguna buat semua. Diri ini juga masih dalam proses belajar menjadi muslim yang sebenarnya muslim, masih banyak kekurangan dan memerlukan teguran dan cadangan dari kalian semua. Akhirul kalam, mohon maaf ikhlas zahir batin dari diri yang hina dina penuh dosa ini. Moga kehadiran tahun baru ini membawa sejuta kebahagiaan bagi kita semua, insyaAllah.
* H A R G A I S E L A G I A D A *
0 contengan diterima:
Post a Comment