Monday, September 15, 2008

Cerita Tentang Maaf

Sebagai manusia biasa yang tidak pernah lari daripada membuat silap dan salah, kita mesti sudah biasa membuat salah bukan? Tak kesahlah salah yang kita buat itu salah pada diri sendiri, salah pada orang lain, salah pada ibu bapa, dan jangan dilupakan salah kita pada Tuhan Pencipta kita, Allah swt yang boleh dikatakan hampir setiap hari kita akan membuat salah yang mendatangkan kemurkaan Allah pada diri kita.

"Awak, maafkan saya ye? Saya tahu ini salah saya. Tolong la maafkan saya ye?".

"Mak, ayah, Aiman tahu yang Aiman selalu buat salah dengan mak ayah. Walaupun Aiman selalu tak kesah, tapi Aiman sedar salah Aiman pada mak ayah. Jadi, Aiman yang mohon berbanyak maaf pada mak ayah. Aiman taknak jadi anak derhaka. Aiman nak masuk syurga. Aiman takut siksa neraka. Maafkan Aiman ye?".

"Ya Allah, ampuni dosa-dosaku pada-Mu, ampuni dosa kedua ibubapa ku, guru-guru ku, sahabat-sahabat ku, juga kaum muslimin dan muslimat samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia".

Bagaimana pula dipihak yang akan memaafkan? Bagi sesetengah orang, memaafkan kesilapan orang pada diri sendiri bukanlah satu perkataan yang mudah untuk diucapkan. Lebih-lebih bila sudah lama berkenalan, sudah sedikit sebanyak mengenal hati budi masing-masing. Mulut mahupun jari ini amatlah susah untuk memaafkan orang disekeliling kita. Lebih teruk lagi, sudahlah tidak memaafkan, bahkan diseksa pula peminta maaf tersebut. Seksa bukannya bermaksud menyebat ataupun menyumbat kepala orang tersebut kedalam mangkuk tandas, tapi seksa berbentuk jiwa dan rohani seseorang itu.

"Baik, saya maafkan kamu. Harapnya lain kali kamu tak buat lagi salah ini ye?".

"Ok, saya dah maafkan kamu. Dah la tu minta maaf, rimas saya".

"Ye, saya maafkan awak. Saya pun tahu, manusia memang tidak pernah lari dari membuat silap. Saya pun samalah, selalu juga sakitkan hati awak, selalu juga buat silap pada awak, jadi maafkan juga kesalahan saya ye?".

Susah bukan nak ucapkan kata-kata seperti diatas? Terasa macam nak tercabut saja nyawa ni bila terkeluar kata-kata seperti diatas. Bagai hilang sudah maruah diri yang selama ini dipertahankan. Terasa seperti semua orang merendahkan diri kita saja bila mulut mengucapkan perkataan maaf tersebut.

Ingat, Allah pun ampunkan dosa kita pada-Nya, semulia nabi pun ampunkan ummatnya, inikan pula kita insan yang hina dina, yang mungkin Allah tidak pandang pun. Dah la selalu buat salah, ini nak memaafkan orang pun susah.


Pernah tak kita terfikir disaat kita terasa berat untuk memaafkan orang, kita juga pernah membuat silap sebelum ini? Kalau bukan pun sebelum ini, masa depan pula bagaimana? Adakah kita terjamin dari tidak melakukan mungkin juga silap yang sama seperti yang kawan kita lakukan pada diri kita itu?

nasihat

Ingatlah, hidup kita memang tidak terjamin langsung dari tidak melakukan kesilapan. Kalau bukan hari ini mungkin esok, kalau bukan esok mungkin juga lusa kita pasti akan dengan tidak sengaja akan melakukan kesilapan.

Berlapang dadalah dalam menerima kesilapan orang pada diri kita. Jangan lokek mahupun susah untuk memaafkan kesalahan orang pada kita. Kerana mungkin juga kawan kita itu tidak sedar dalam diam-diam dia ada membuat salah pada diri kita. Sebab manusia ini diciptakan berbeza-beza perasaan dan hati budinya. Mungkin pada pandangan kita sesuatu perkara itu salah, tapi mungkin pada pandangan kawan kita ianya bukanlah satu kesalahan.

Paling penting dalam mengedalikan kesalahan orang pada diri kita, jangan pengaruhi fikiran kita dengan emosi dan nafsu. Sebaliknya lapangkanlah dada, terimalah seadaanya dan cuba berfikiran positif walaupun ianya pahit untuk ditelan. Kalau dah pahit untuk ditelan, kemam saja. Bila keadaan dah reda nanti, luahkan balik, jangan ditelan.

Bila ingin meminta maaf pula, pertama sekali sedar dengan kesalahan sendiri. Sedar apa yang kita buat itu salah, dan kenal pasti apakah salah kita sebenarnya. Jangan tersilap memilih salah pula, nanti bimbang lain pula maaf yang kita ucapkan. Lapangkan dada dan sesali kesalahan kita itu. Dengan cara ini, mudah untuk kita ikhlaskan diri kita bila ingin mengucapkan maaf. Jangan didorong perasaan terpaksa, kerana ini akan menimbulkan dendam yang mungkin tidak berkesudahan.

Memilih cara untuk meminta maaf juga penting. Sebaiknya biarkan dulu keadaan sedikit reda. Jangan terus meminta maaf, kerana mungkin sesetengah orang tidak mampu untuk berfikir dengan waras bila dalam keadaan marah. Tapi bagi keadaan yang tidak melibatkan pertelingkahan, sebaiknya ucapkan maaf pada waktu itu juga. Mungkin ini juga dapat mengelakkan keadaan dari menjadi lebih tegang. Api jangan disimbah dengan api, nanti bertambah maraklah ia. Sebaliknya simbahlah api dengan air, kerana air sahaja yang mampu meredakan mahupun memadamkan terus kemarakan api tersebut.

Satu sifat yang peminta maaf perlu praktikkan ialah, bersabar bila meminta maaf. Bersabar yang bagaimana? Bersabar dan jangan terlalu memaksa untuk orang memaafkan kesalahan kita dengan serta merta. Mungkin ada yang saja yang boleh memaafkan terus. Tapi ada juga yang memerlukan masa untuk memaafkan kesalahan kita. Jadi, bersabarlah bila menunggu kita dimaafkan.

Maaf bagi lelaki dengan wanita sama ke? Tidak sama sekali. Bagi perempuan, nalurinya lebih kepada pujuk rayu dan perhatian yang lebih. Rajinkan dan lebihkan memujuknya, tunjukkan yang kita betul-betul meminta maaf dengannya. Jangan dibiarkan dan jangan pula terlalu memaksa. Kerana sembilan nafsu yang ada pada seorang wanita itu kadang-kadang selalu mempengaruhi setiap tindakan dan keputusan yang diambilnya. Meminta maaf pada seorang wanita perlu mengikut kekreatifan masing-masing. Kerana kita mungkin lebih memahami kawan kita itu jenisnya bagaimana.

Sebaliknya, bila meminta maaf pada seorang lelaki, jangan terlalu memujuk mahupun memaksa. Kerana sikap lelaki yang penuh dengan keegoaanya, maka janganlah terlalu memaksanya. Cukuplah sekadar ucapkan maafkan kita sekali, dan tunjukkan yang kita betul-betul mengakui kesalahan kita itu. Lelaki ni panasnya mudah reda bila dibiarkan. Sebaliknya jika terus dipujuk, mungkin akan menambahkan lagi keegoannya untuk terus enggan memaafkan kita. Langkah terbaik yang aku sarankan, meminta maaf, tunjukkan yang kita betul-betul mengakui kesalahan kita, dan biarkan. Selebihnya biarkan si lelaki itu memikirkan sendiri dan menyejukkan dirinya sendiri. InsyaAllah sembilan akal yang dikurniakan Allah akan mampu membuatkannya berfikir panjang dan mudah memaafkan kesalahannya.

"Awak, maafkan saya ye? Jangan kerana salah saya ini, akan memutuskan persahabatan yang selama ini kita jalinkan. Ikhlas dari hati saya, bukan senang untuk saya lupakan seorang kawan yang begitu berharga yang Allah dah kurniakan pada saya ini. Terimalah saya seadanya, janganlah dikeji mahupun dicaci, kerana saya cuma manusia biasa yang selalu alpa dan lalai, selalu bergelumang dengan dosa dan noda, selalu juga membuat salah dan silap yang kadang-kadang saya tidak sedari. Maafkan saya".

Ini kes berat la. Jangan kerana susahnya kita untuk memaafkan orang, sehingga menyebabkan kita hilang pertimbangan dan sampai ke tahap memutuskan silaturrahim yang terbina. MasyaAllah, jangan sampai macam ni. Silapnya mungkin sedikit, mungkin juga beberapa minit, tapi janganlah sampai memadamkan segala kenangan dan pertolongan yang telah kita bina bersama kawan kita itu. Cuba hargai kawan kita itu seadaanya. Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan dari kawan kita, kerana pada hakikatnya diri kita juga tidak sempurna. Terlalu banyak kekurangan dan kelemahan yang kadang-kadang tanpa kita sedar boleh juga mengecewakan kawan kita itu.

Sebagai kesimpulannya, menutup aktiviti bebelanku pada kali ini, janganlah susah untuk meminta maaf juga memaafkan setiap kesalahan orang pada diri kita. Akui kesalahan kita dan lapangkan dada kita untuk memaafkan kesalahan orang pada diri kita. Kerana kita tidak tahu suatu hari nanti kita juga akan melakukan kesalahan yang sama pada kawan kita itu. Mengambil kata-kata Dato' Dr Fadzilah Kamsah, orang yang baik itu adalah orang yang sedia meminta maaf dan memaafkan kesalahan orang pada dirinya. Maafkan semua orang disekeliling kita setiap malam sebelum menutup mata. InsyaAllah, kita akan tergolong dalam orang yang berjaya dunia dan akhirat.

Mudahkan diri kita untuk memaafkan orang, suatu masa nanti orang juga akan mudah untuk memaafkan kesalahan kita pada diri mereka. Madu yang kita beri, insyaAllah madu juga yang akan kita terima nanti. Jika hempedu yang kita simbah, jangan menyesal bila kita nanti bukan saja disimbah hempedu, malah segala jenis kekotoran dan kepahitan yang tidak kita pernah fikirkan selama ini.

* A M P U N M A A F D A R I K U *

2 contengan diterima:

~Cinta Cukulet~ on September 17, 2008 at 5:47 AM said...

huhu..biasanya org yg ego tinggi mmg susah nak mintak maaf kan..

apapun saya jugak mau mintak sori kalau ada silap salah terkasar bahasa(tolong kirim duit raya ye hehe)

Lisam on September 17, 2008 at 7:19 AM said...

ego tinggi & merasakan yg dirinya sentiasa betol...betol kan? hihi...

segala kesalahan sape2 pn pd diri ini, tetap akan dimaafkan tnpa menyimpan walau sedikit pun dendam...hehe

alhmdllah, cik milo ais tade penah wat pape salah pn lg..

nak duet raye? doploh sen ade la...muahaha

 

© 2010 Antara Cita dan Cinta Copyright © 2009 Black Nero is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal