Saturday, July 5, 2008

Ujian dan Kesusahan

Dalam kehidupan ini, ramai manusia yang takutkan kesusahan dan ujian. Namun, hidup di dunia tidak akan sunyi dari kesusahan dan ujian. Hadith ada menyebut: “Dunia itu negara bala’ dan ujian”.

Sebenarnya, yang benci dan takutkan kesusahan dan ujian itu ialah nafsu. Nafsu adalah lebih jahat dari syaitan. Syaitan boleh dihalau tetapi nafsu berada dalam diri kita. Nafsu adalah jalan bagi syaitan. Nafsu perlu dididik dan hendak mendidik nafsu, kita perlu ada rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Kalau rasa-rasa ini tidak ada, maka tidak ada apa yang akan mendorong dan menahan atau menghalang nafsu.

Nafsu kalau tidak diuji, ditekan, dikekang dan disakitkan, dia akan berbunga. Kemudian dia akan berbuah. Buah nafsu ialah segala sifat-sifat keji dan mazmumah seperti sombong, angkuh, megah, riak, pemarah, tamak, hasad dengki, panas baran, bakhil dan lain-lain lagi. Kalau tidak ada ujian dalam hidup, nafsu akan jadi subur dan iman akan jadi lemah. Iman hanya akan meningkat melalui ujian dan kesusahan.
Allah ada berfirman:

Jangan kamu sangka kamu telah beriman sebelum kamu diuji” (Al-Ankabut 1-2)

Untuk selamat di akhirat, kita kena membaiki diri. Cara untuk membaiki diri ialah dengan bermujahadah dan dengan melalui berbagai-bagai ujian dan mehnah dari Allah.

Pada hakikatnya, tidak ada ujian yang berat ataupun ringan. Yang ada hanyalah kuat atau lemahnya hubungan kita dengan Tuhan. Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, ujian yang berat dirasakan ringan. Orang yang lemah hubungannya dengan Tuhan, ujian yang ringan pun terasa berat.

nasihat

Ujian adalah untuk orang baik dan juga orang jahat. Malahan orang baik lebih banyak diuji dan lebih berat pula ujiannya. Para nabi dan rasul adalah mereka yang paling berat diuji. Kemudian para wali dan orang-orang soleh. Kemudian orang-orang awam lain mengikut iman yang ada pada mereka. Orang baik diuji untuk meningkatkan darjat mereka. Orang jahat diuji untuk menginsafkan dan menghapuskan dosa-dosa mereka. Kalau mereka bertaubat pun belum tentu diterima tetapi ujian dan mehnah boleh menghapuskan dosa tersebut.

Jalan ke syurga itu penuh dengan ujian, kesusahan dan penderitaan. Jalan ke neraka pula penuh dengan kesenangan dan nikmat. Justeru itu menjalani ujian dan kesusahan dari Allah menjadi syarat untuk ke syurga. Ada riwayat di dalam sebuah hadith:

“Setelah Allah mencipta syurga dan neraka, maka Allah perintahkan para malaikat pergi melihatnya. Sekembali para malaikat, Allah bertanya apa pendapat mereka. Malaikat menjawab: “Tidak akan ada manusia yang akan masuk neraka kerana siksaannya sangat pedih dan dahsyat. Semua manusia akan masuk syurga kerana nikmat di dalamnya sungguh indah”. Allah kemudian memerintah para malaikat untuk melihat kali kedua. Sekembali para malaikat, Allah bertanya sekali lagi apa pendapat mereka. Kali ini malaikat menjawab: “Tidak akan ramai manusia masuk syurga. Ramai manusia akan masuk neraka. Ini kerana syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang sungguh menyakitkan dan menyusahkan; dan neraka itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang seronok, indah dan mengasyikkan.””

Kalau nafsu sangat benci pada ujian dan kesusahan, fitrah pula sebaliknya. Fitrah sangat ingin rasa bertuhan dan suka bersusah-susah kerana Tuhan. Fitrah rasa puas kalau disusahkan atau disakitkan asal ia dapat rasa hampir dan dekat dengan Tuhan.

Kalau nafsu dapat ditundukkan dan dijinakkan, maka fitrah kita akan lebih berperanan. Bila fitrah sudah berperanan dan jiwa telah hidup, maka dia akan terhibur dan merasa bahagia dengan ujian dan kesusahan. Bila diuji, dia terasa Tuhan itu dekat dan hampir dan kuat pergantungannya dengan Tuhan. Roh jadi meriah dan penuh dengan zikrullah. Bila tidak diuji, rasa bimbang dan cemas takut-takut Allah telah melupakan dia.

Kita boleh ukur diri kita dan kita boleh tahu dalam diri kita nafsu atau fitrah kita yang lebih berperanan. Nafsu kitakah atau fitrah kitakah yang lebih kuat. Kalau kita sangat terdorong dan terangsang dengan perkara-perkara yang seronok, yang mengasyikkan, melalaikan, berfoya-foya, seronok dengan dunia dan takut dan benci kepada ujian dan kesusahan maka kita sebenarnya kuat nafsu. Tetapi akal kita banyak terdorong kepada akhirat, rela bersusah-payah dan menderita kerana Allah, tidak takut ujian dan kesusahan dan rasa manis dan indah pula dengan ujian, maka fitrah kita sudah berperanan. Oleh itu bermujahadah, menekan, mengekang, menyakitkan dan mendidik nafsu sangat penting.

Orang-orang soleh, kalau diuji, mereka tidak mengadu. Orang-orang muttaqin, kalau diuji mereka redha. Orang-orang siddiqin pula merasa bahagia dan terhibur dengan ujian. Itulah makanan jiwa mereka.

* S A B A R K A N D I R I *

2 contengan diterima:

Anonymous said...

salam alayk..mintak izin copy gamba...
jazakallah

Lisam on July 20, 2008 at 8:59 AM said...

sila..sila..
free to copy, and it is right to copy..=)

 

© 2010 Antara Cita dan Cinta Copyright © 2009 Black Nero is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal