Tahun 2008, menyebabkan umur aku telah mencapai sehingga ke angka 22. Wah, suatu angka yang aku rasakan agak banyak walaupun diri terkadang terasa amatlah kerdil dan masih lagi bersikap kebudak-budakan. Pemikiran pun jika nak dikatakan agak matang tidaklah sangat pada pemikiran warasku. Kadang-kadang boleh sahaja disamakan dengan budak-budak sekolah menengah ataupun lebih teruk lagi sekolah rendah, terutama bila mana aku bersama adik-adik aku. Gurau senda dan usikan aku terkadang melebihi sifat kebudak-budakkan yang dimiliki oleh kanak-kanak kecil.
Tapi bagi aku, semua itu tidak langsung mampu memberi impak yang cukup kuat dan negatif bagi diri. Apa yang yang aku lebih pentingkan ialah asalkan adik beradik aku selesa dan rapat serta tidak merasa janggal bila bergurau dengan aku cukuplah. Itu lebih penting dan memberikan kepuasan yang cukup bermakna bagi diri aku. Seringkali adik perempuan aku ketawakan aku kerana sikapku yang seakan keanak-anakan bila aku mengusik mereka. Tapi disebabkan itulah mereka menjadi bertambah rapat dan tidak segan untuk menerima gurauan dari aku.
Dianggap lebih tua dari usia
Suatu fenomena yang aku sedari sejak sekian lama sudah. Bila ditanya umur, seringkali aku menyuruh mereka meneka sahaja berapakah umur aku. Bukan apa, aku sekadar ingin melihat pandangan dan telitian orang terhadap diri aku ini. Sebab seringkali apa yang kita rasa dan orang lain rasa dan lihat, amatlah berbeza dengan apa yang kita nampak. Terutama bila berjumpa dengan seseorang yang kita baru kenal dan belum pernah berjumpa lagi sebelum ini.
Aku lebih tua? Haha, aku pun kadang-kadang tidak dapat menerima bila aku ini dianggap berumur lebih tua dari umur aku yang sebenarnya. Ada juga yang terkejut dan tidak percaya sekiranya aku menyatakan umurku adalah sekian dan sekian, lain dan lebih muda dari umur yang mereka teka. Ada kenalan aku yang berumur sekarang ini sudah pun 26 tahun, dan bila sahaja melihat gambarku, dia mengatakan yang aku ini sebaya sahaja dengan dia. Kejadian yang bukan sekali, tapi sudah berkali-kali dan melibatkan orang yang berlainan. Terutama yang baru sahaja mengenali aku. Seringkali aku dilabel dengan umur 25 ataupun 26 tahun. Umur yang sentiasa saja aku terima bila minta diteka.
Kadang-kadang terasa bangga juga bila orang menganggap kita lebih tua ni. Dan semestinya lah diri kita ini dipandang dengan lebih matang dan berkaliber, tidak lagi berwajah kanak-kanak yang seringkali mudah diperalatkan dan dipandang sebelah mata. Teringat pesanan yang mak aku sentiasa pesan bila nak membeli pakaian atau apa-apa benda sekalipun, "ingat, kalau boleh tawar, tawar serendah yang boleh, sebab peniaga ni biasalah bila berurusan dengan budak-budak, memang sentiasa saja nak ambil kesempatan". Satu ungkapan yang sentiasa sahaja dipesan oleh mak aku dulu. Tapi sekarang ni tidak lagi, mungkin juga kerana mak aku sudah sedar dan dapat menerima hakikat yang diri aku sudahpun meningkat dewasa sekarang ini..haha, dewasa la sangat.
Tapi disebaliknya, ada juga sesetengah yang seakan tidak mahu menjadi dewasa, sentiasa ingin berada dizaman kanak-kanak. Tapi ada juga yang memberikan alasan yang aku fikir munasabah dan boleh diterima. Kata mereka, bila umur sudah meningkat, masalah bertambah, dosa bertambah, tanggungjawab juga bertambah. Memang betul apa yang dicakapkan tu.
Budak kecil tidak perlu pun nak memikirkan masalah-masalah hidup ni. Bahkan boleh dikatakan ketika kita kecil dulu, tidak pernah langsung memikirkan soal masalah disekeliling kita. Dunia nak terbalik ke, US hendak datang bom Malaysia pun kita buat tidak tahu saja. Ini la seronoknya bila memikirkan zaman kanak-kanak. Apa yang kita fikir, cuma apa yang nak buat bila balik sekolah nanti, apa yang nak dibelikan masa rehat nanti, atau memang tidak pernah memikirkan pun apa yang hendak dibelikan, on the spot je bila sampai dikantin, kita beli je ikut suka kita yang kadang-kadang tanpa berfikir pun duit cukup atau tidak.
Seronoknya zaman kanak-kanak, bila apa yang difikirkan cuma dengan siapa kita hendak bermain nanti, burung apa kita nak lastik nanti, apa yang hendak dimasak masa bermain pondok-pondok nanti dan mungkin juga hanya sekadar tiada apa-apa yang difikirkan, sekadar mengikut arus masa dan pengaruh keadaan sekeliling semata-mata. Zaman kanak-kanak memang seronok dan menyeronokkan. Sentiasa suka, dan suka bersuka-suka.
Terima hakikat
Pabila diri ini sudah meningkat dewasa, bermacam-macam perkara dan masalah perlu difikirkan. Pelbagai keadaan yang memerlukan kita membuat keputusan antara dua pilihan juga seringkali menjengah hidup. Huh, salah satu perkara yang seringkali membuatkan diri terasa biul dan tidak betul bila diminta dan terpaksa membuat keputusan yang akan memberikan impak yang besar pada diri. Cara paling berkesan, kembali pada Allah. Minta petunjuk dan dipermudahkan segala urusan dan perhitungan yang perlu dibuat.
Tapi itu lah, kadang-kadang kita seringkali membelakangkan Allah bila berhadapan dengan sebarang masalah dan dugaan. Hanya yang kita pandai dan seringkali buat, mengeluh, mengeluh, mengeluh dan menyalahkan takdir bila keputusan yang kita buat salah dan memberikan kesan yang negatif pada diri.
Perlu diingat, Allah maha berkuasa dan maha bijaksana. Setiap yang terjadi semuanya dalam pengetahuan dan keizinanNya. Bila dah sesuatu itu ditentukan oleh Allah, semestinyalah ianya suatu yang terbaik dan memberi manfaat buat yang menerimanya. Walaupun pada pandangan mata kasar kita hanya mampu melihat negatifnya sahaja, tapi cuba kita lihat pula dari sudut positifnya. Benda ini lah yang seringkali kita lupa dan tidak sedar. Silap sendiri, sama-sama muhabah diri.
Petang tadi, diadakan satu mesyuarat semua penasihat dan pelajar praktikal yang sama-sama berpraktikal bersama-sama aku. Sebelum ini bukan aku tidak pernah pun bermesyuarat dengan orang-orang besar dan pensyarah diuniversiti. Dulu masa di dungun, aku pernah menyertai mesyuarat bersama-sama dengan pengarah kampus lagi. Mungkin ia suatu pengalaman yang berharga, ataupun mungkin sekadar memenuhi diari hidupku semata-mata.
Mesyuarat berjalan agak lancar dan aku hanya sekadar diam dan melihat sahaja gelagat pensyarah-pensyarah aku berbincang sesama mereka. Cuma kadang-kadang saja aku ni bersuara, itupun setelah diminta untuk berbicara menerangkan sesuatu kepeda mereka. Selebihnya aku hanya mampu menjadi pendengar dan pemerhati yang agak kurang baik. Mencatit dan menangkap setiap bait kata-kata untuk persediaan bagi aku membuat laporan berkenaan mesyuarat itu nanti.
Teguran sahabat
Wah, suatu gaya bahasa yang pada aku cukup formal untuk entry kali ini. Mungkin terkesan dengan pembacaan dari blog-blog yang aku lawati ketika berjalan-jalan diinternet. Gaya bahasa yang aku rasakan cukup hipokrit pada diri aku dan agak tidak sesuai dengan cara aku yang agak bersahaja bila menulis. Idea-idea dan kata-kata yang mengarut dan merapu yang seringkali aku gunakan pun seakan-akan hilang dan segan untuk aku isikan untuk memenuhi entry ini.
Pernah juga aku menerima teguran dari seorang classmate aku dulu, masa awal-awal penglibatan aku dalam dunia blog ini. Katanya tulisan aku agak mengelirukan kerana gaya bahasa yang aku gunakan terlalu la sempoi dan susah bagi sesetengah mereka untuk memahami apa yang sebenarnya aku tulis. Sejak dari itu la, aku mula terfikir, aku menulis untuk dibaca dan difahami oleh pembaca lain, bukan aku melulis kerana aku syok sendiri. Kalau aku menulis hanya untuk bacaan aku, lebih baik aku menulis dalam diari peribadi aku sahaja, apa bahasa walhal bahasa tamil urdu pun aku nak gunakan tiada siapa yang hendak kesah. Betul tak? Kan betul aku cakap..haha.. Sebenarnya aku tidak pernah mempunyai walau sebuah diari pun dalam hidup aku.
Menaip sambil mendengar lagu nasyid. Perkara yang seringkali aku lakukan. Cukup untuk membuatkan diri aku tenang dan punya idea yang datang mencurah-curah. Lagu yang aku sedang dengar ini ada saja dalam entry blog aku sebelum ini. Lagu Sejuta Harapan dari Da'i Nada. Fuh, bagi aku lagu yang cukup mendamaikan jiwa aku. Tapi aku punya kisah disebalik lagu ini sebenarnya. Lagu asalnya adalah Ma Lin Rabbun Siwah kalau tidak silap aku, lagu yang aku dapat dari seorang sahabat diawal perkenalan aku dengan insan berkenaan. Syukran sahabat, kerana dirimu aku kenal lagu ini. Lagu ini juga merupakan lagu tema yang aku letak dalam page friendster aku. Kalau nak dengar selain dari dalam blog aku ni, rajinkan la diri anda melawat friendster aku. Tapi kena add dulu la, baru boleh buka friendster aku dan kenal siapakah diri aku yang sebenarnya..hohoho..Email aku? Cuba tengok diruangan shoutbox, ada je aku letakkan kat situ.
Awal-awal penulisan aku untuk entry ini, aku terfikir untuk menulis sedikit berkenaan kisah hidup aku sejak sekolah sampai la aku di menara gading sekarang ni. Tapi bila jari jemari ini mula menari-nari diatas papan kekunci laptop milik kawan aku ni, terus hilang matlamat asal penulisan aku. Sebab itu la aku ni terkadang memang tidak mampu untuk menjadi seorang penulis yang baik, kerana tidak punyai pendirian dan pegangan yang teguh terhadap matlamat asal menulis. Sentiasa saja mengikut rentak dan naluri sendiri bila menulis yang biasanya mengarut-ngarut dan merepek saja tanpa isi dan pengisian yang bermanfaat.
Mungkin aku sepatutnya mempraktikkan satu cara yang selalu diajar disekolah dulu bila hendak menulis karangan. Sediakan dahulu rangka karangan ye anak-anak, supaya penulisan kita tidak lari dan tahu apa yang kita hendak tulis. Mungkin la aku terpaksa guna cara ini bila nak mengarang suatu kisah yang agak formal dan bukan untuk entry refekan..hihihihi(gelak tawa yang seakan hilaian pontianak dan sekutu- sekutunya...hahaha)
Teringin aku hendak menulis satu entry yang mampu membuatkan orang terkesan dengan penulisanku, tp terkadang terlalu banyak perkara yang membataskan niat aku tu. Salah satunya semestinya lah aku ni tidak punya bakat menulis. Idea ada, cuma cara hendak disampaikan dengan gaya bahasa dan penyusunan tata cara menulis yang pada hemat aku belum lagi aku capai sepenuhnya. Tunggu lah, mungkin satu hari nanti, jika Allah mengizinkan dan memberi kekuatan pada aku, aku akan menerbitkan suatu penulisan yang hasil dari idea dan titik peluh aku sendiri. InsyaAllah..
Sekian dahulu untuk kali ini..Adios...~
* H A T I C E R I A I M A N S A K I T *
4 contengan diterima:
salam ya akhi..insyaAllah byk entry2 saudara yg berkesan di hati pengunjung-pengunjung blog saudara. Ada seorang kawan ana pun turut bertanya psl blog saudara.. Oleh itu, teruskan utk menulis dgn gaya penulisan saudara..semoga ramai yg mendapat manfaatnya...
wassalam
salam..
syukran atas kunjungan. panjatkan kesyukuran pd yg Maha Esa, kerana Dia kita disini, dan kerana Dia semua ini terjadi. Moga sama-sama mendapat manfaat dan peringatan..
p/s: bebila dtg lg ye, ajak kwn2, mak, ayah, datuk, tok ki, jiran sbelah umah tok bilal pun leh gak..hak3x..=)
salam...
syokk lg jadi bebudak...
bahasa nie dah okpun...macam bahasa novell...stylo la gak(^^)
salam..
jadi budak mmg syok, tp bila dah merasa betul2 jadi dewasa ni. laaagi bertambah syok..hihi
Post a Comment