Setiap manusia pastinya tidak dapat untuk mengelak daripada menempuhi pelbagai ranjau dan onak duri dalam kehidupan seharian. Cabaran yang dihadapi adakalanya dapat meningkatkan motivasi diri tetapi adakalanya juga mampu membawa manusia ke lembah kehancuran. Inilah tujuan ujian dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi selaku makluk istimewa yang diciptakan Allah, juga sebagai khalifah di bumi. Ironinya, kehidupan ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Sesungguhnya, seseorang itu tidak layak digolongkan ke dalam golongan manusia sekiranya ia tidak langsung diuji oleh Tuhannya.
Pelbagai persoalan merempuh benak hati kita berkaitan keperitan musibah yang dihadapi. Hakikatnya, cabran dan dugaan ini tidak lebih sekadar untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran dalam diri manusia itu sendiri. Sabar tidak boleh ditakrifkan sekadar pada perlakuan sebaliknya perlu difahami secara terperinci mengikut metodologi pemerhatian dan pengkajian tentang pengertian sabar kepada hati nurani manusia. Sesungguhnya, Sabar itu memerlukan ilmu pengetahuan untuk kita memahami keperluannya terutama untuk kita aplikasikan dalam konteks diri kita sendiri, keluarga, dan masyarakat. Imam Al-Ghazali dalam kitab karangannya Ihya 'Ulumuddin menjelaskan maksud sabar iaitu menanggung segala kesukaran fizikal. Sabar juga membawa maksud menahan segala kehendak nafsu syahwat yang ada dalam diri seseorang yang sering menyuruh kita melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sesungguhnya sifat sabar itu memerlukan penghayatan secara berterusan, bukan boleh diaplikasi kepada cara perlaksanaan semata-mata.
Sabar itu banyak jenisnya dan yang berada dalam konsep yang berlaku pada dirinya sekarang adalah konsep sabar dalam menghadapi musibah. Rasulullah s.a.w sendiri pernah ditimpa musibah ketika mana kematian puteranya Ibrahim, sehingga mengalir titisan air mata baginda kerana terlalu sedih. Pun begitu, baginda sendiri berkata: "Itulah tandanya rahmat ke atas hamba-hambaNya yang bersifat belas kasihan.."
Hakikatnya, kecelakaan dan musibah serta malapetaka yang berlaku ke atas diri kita adalah bertujuan untuk menguji kesabaran manusia. Seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam seharusnya bertenang walaupun gelojak jiwanya mengarah ke arah mengikut hawa nafsu seperti mana yang berlaku ke atas orang arab jahiliyah yang mengoyak-ngoyak baju, menampar pipi, tidak makan dan sebagainya akibat terlalu sedih. Jelas perbuatan tersebut lebih menjurus ke arah emosi semata-mata sedangkan sesuatu yang sudah berlaku itu tidak mungkin kembali kepada keadaan yang asalnya.
Kita harus menyedari bahawa segala musibah yang berlaku itu adalah ujian dari Allah, seterusnya yakin dan redha akan ketentuan qadha dan qadar Allah. Firman Allah: "mereka itulah yang diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka bersabar" - al-Qasas:54
Firman Allah lagi: "Hanya orang yang sabar akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan" - Az-zumar:10
Sebagai mukmin, kita tidak harus cepat putus asa, atau lemah semangat tetapi sentiasa mengharapkan rahmat dan redha Allah. Rasulullah pernah bersabda bahawa sesungguhnya setiap musibah yang berlaku itu tidaklah dijadikan oleh Allah secara sia-sia melainkan untuk menebus dengannya akan dosa-dosanya yang lalu. Saidina Ali ada bermadah: Jika engkau sabar, takdir itu akan berlaku juga pada dirimu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Akan tetapi, jika engkau tidak sabar sekalipun, takdir tetap berlaku juga cuma pada kali ini engkau berdosa.
Sesungguhnya di sebalik kesusahan ada rahmatNya. Sikap cepat melatah boleh memudaratkan diri kita sendiri kerana kita akan lebih mengutamakan emosi berbanding pemikiran yang waras. Tambahan pula, sikap seorang mukmin ialah mengutamakan metod ilmiah atau mudahnya memikirkan secara terperinci akan sesuatu hal sebelum tindakan diambil. Kita mesti bertindak atas dasar pemikiran yang waras. Kerana tindakan melulu tanpa berlandaskan akal fikiran, bisa mengundang bahaya dan kesusahan kepada diri kita sendiri.
* S A B A R M E N A N T I *
1 contengan diterima:
salam sakinah..
enta tak pernah mengecewakan ana dalam posting enta sendiri..sangat menarik!=)
p/s muga terus tabah dan tsabat dalam perjuangan agama ini..ingat comment enta dalam entri ana?maka, terus berusahalah untuk menjadi seorang PEMUDA KAHFI!
d(^_^)b
Post a Comment