Saturday, June 14, 2008

Tiada Lagi Derita?

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, berbanyak malah tidak terhitung banyaknya nilai kesyukuran yang ingin aku panjatkan kepada Allah swt, Tuhan sekalian alam diatas segala nikmat yang telah dikurniakan untuk diriku sepanjang saat aku bernafas dimuka bumi milikNya ini. Kenikmatan yang terkadang aku lalai dan lupa untuk syukuri, walaupun aku sedar semuanya adalah kurniaan dari Allah buat diriku. Baik atau buruk bukan ukuran untuk disyukuri, cuma perlu diingati, segalanya adalah datang dari Allah swt, yang pastinya punya beribu hikmah dan kebaikan disebaliknya. Betul tak?

Hari ini, dengan hati yang berbunga dan amatlah bersyukurnya, aku telah berjaya mendapatkan kembali harta duniawi kesayangan aku..haha.. Pagi-pagi aku lagi telah terpacak depan bilik seminar tempat aku dah rakan-rakan aku yang lain berpraktikal. Tujuannya cuma satu, buka bilik seminar itu, since aku ni telah dilantik sebagai pemegang kunci bilik berkenaan, dan tunggu kawan-kawan aku yang lain sampai. Setelah aku ingatkan serba sedikit tugas-tugas yang mereka perlu siapkan hari ini, aku terus saja merempit ke HP Service Center yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Lebih kurang pukul 8 pagi aku bertolak dari Shah Alam, tepat mengikut jam pada telefon aku, pukul 8.26 pagi aku telah pun terpacak depan pintu Service Center tersebut. Laju betul aku merempit kali ini..hak3x

Sampai saja disana, aku tengok ditepi pintu service center tersebut, waktu urusniaga bermula jam 8.30 pagi. Wah, ada lagi 4 minit aku terpaksa menunggu. Aku menjadi orang pertama yang akan menjadi pelanggang yang berurusan ditempat tersebut hari ini. Nombor giliran yang aku dapat pun merupakan nombor 3001. Tidak pernah dalam usia aku mendapat nombor pertama walhal pergi ke bank atau ke pejabat pos sekalipun. Bangga kejap aku..ekekeke

Alhamdulillah, laptop aku telah dibaiki dengan sempurnanya. Sebuah motherboard dan LCD Panel telah ditukar baru. Laptop aku sebijik macam laptop baru dah sekarang ni. Dengan tiada langsung kesan calar di skrin dan badan yang menyelaputi skrin, kerana semuanya telah ditukar baru, cuma bahagian papan kekunci dan badan utamanya sahaja yang masih dikekalkan dengan yang asal. Tidak kesah la, yang penting laptop aku telah berjaya digunakan kembali seperti sediakala, itupun sudah cukup untuk membuatkan aku bersyukur sangat-sangat.



Baru-baru ini, aku juga telah berjaya mendapatkan lesen memandu CDL. Atau dengan nama yang biasa aku gunakan ialah lesen besar. Masa aku pergi untuk memperbaharui lesen memandu aku ni, aku pergi la bertanya dulu kat kaunter pertanyaan JPJ tu. Aku tanya la seorang pegawai lelaki yang bertugas disitu,

" Incik, saya nak buat lesen besar, kat kaunter mana saya kena pergi?", tanya aku dengan muka yang tidak bersalahnya.
" Apa, nak buat lesen besar?", tanya pegawai yang pada pandangan aku agak la hensem, ada la ala-ala pelakon tambahan drama murahan kat tv gitu.
" Yela incik, nak tukar lesen P kepada lesen besar. Nak pergi kaunter mana ni?", jawab aku kembali dengan cepatnya.
" Apa, nak buat lesen kapal terbang ke besar sangat ni? Hahahaha.. Okeh, naik tangga, lepas itu masuk pintu nombor 6..", jawab pegawai tersebut dengan selambanya diikuti dengan hilai tawanya yang macam orang tidak ingat dunia dah.

Adeh, memang kureng asam boi betul pegawai tu, mahu je aku sumbat selipar buruk aku ni dalam mulut dia. Yela, suka-suka je nak gelakkan orang. Kalau ikutkan otak aku yang cepat je memikirkan ayat untuk aku balas balik, mahu je aku jawab, takde la incik, saya nak buat lesen keretapi ni, kapal laut pun boleh gak..haha.. Nasib la kalau aku jawab macam tu. Hampes betul pegawai tu.

Terus aku memulakan langkah ke tempat yang sepatutnya, malas aku nak layan pegawai yang loya buruk tu, walau kadang-kadang aku gelak sendiri bila memikirnya balik..huhu.. Tapi nasib aku kurang baik hari itu, kerana aku lupa membawa gambar passport untuk memperbaharui lesen aku. Masa aku sedar aku tertinggal gambar tu, aku dah mula memikirkan alasan-alasan dan ayat sedih yang aku nak bagi pada pegawai kat kaunter nanti. Niat asalnya hendak je aku suruh pegawai itu nanti kerat saja gambar pada lesen lama aku tu.

Tapi niat aku akhirnya tidak berjaya juga, kerana awal-awal pegawai tu sudah cakap pada aku sebelum aku mencipta alasan, katanya lesen aku masih ada lagi sehari, jadi memang tidak boleh untuk dia kerat lesen tu, salah. Adeh, akhirnya balik la aku dengan perasaan yang redhanya. Balik rumah, terus aku tido, tapi belum sempat melelapkan mata, tiba-tiba telefon lak berbunyi, dapat mesej dari kawan praktikal aku, katanya penasihat mahu jumpa aku. Potong line betul, baru je pasang niat nak ponteng kerja, terpaksa juga la aku gagahkan diri pergi balik ke tempat praktikal. Itu la, niat lagi yang tak baik, kan Allah dah tidak izinkan..huhu

Balik ke tempat praktikal, aku ada la bercerita pasal pegawai yang kurang asam tadi tu pada kawan aku. Dia turut sama gelak dan buat muka blur bila aku cakap lesen besar. Rupanya orang sini tak cakap pun lesen besar, hanya sebut lesen je, ataupun lesen penuh. Patut la pegawai JPJ tadi gelak sakan kat aku..hahaha.. Buat malu muka sendiri je aku ni.

Hari keesokkannya berjaya juga aku menukar lesen aku ni, tanpa pergi berjumpa lagi pegawai semalam(haha..malu dah kot). Jadi sekarang ini, tiada lagi pelekat 'P' pada motor aku. Bila balik kampung nanti, tidak perlu la aku nak susah-susahkan diri tampal pelekat 'P' lagi pada kereta ayah aku. Alangkah gembira dan puasnya hati aku ini. Sepatutnya setahun yang lepas aku dah memegang lesen 'besar' ni, tapi masa ujian motor dulu, aku kandas dan oleh kerana kesuntukan masa dan kewangan, terpaksa la aku pegang lesen 'L' selama setahun..*sad*

Beberapa hari kebelakangan ini merupakan hari yang aku rasakan agak padat dan penuh dengan pengisian buat diri aku. Dengan bahana kerja dan jadual aktiviti yang telah aku rancang dan perlu aku selesaikan, cukup untuk membuatkan diri ini terasa amatlah penat dan kekurangan rehat. Kaki aku pun dah mula sengal-sengal dek kerana banyaknya perjalanan dan tempat yang aku tuju. Ditambah pula dengan kehadiran Ketua Program aku yang mengambil alih tugas penasihat buat sementara waktu ini, setiap hari pasti dia akan datang menjenguk dan bertanya setiap tugas yang kami semua buat. Jadi walau macam mana sekali pun, terpaksa la juga aku beserta kawan-kawan aku bekerja keras sedikit untuk menyiapkan setiap kerja dan tugasan yang diberikan.

Kerja-kerja dibahagian tajaan yang aku pegang sekarang ini pun dah menampakkan perjalanan dan hasilnya. Jika hendak dibandingkan dengan minggu-minggu sebelum ini yang kebanyakannya terkandas disebabkan oleh banyak halangan yang antara satunya adalah kerana sikap aku sendiri yang acuh tidak acuh dengan tugas yang diberikan. Disamping juga aku terpaksa mengawasi dan menyelia setiap tugas yang kawan-kawan aku buat agar mudah bagi aku menjawab bila ditanya kelak, juga mengingat dan memberikan tugas yang mereka lupa dan terlepas pandang.

Bagaimana pun, derita yang aku alami selama ini yang hampir masuk 3 minggu akhirnya sudah pun berlalu. Alhamdulillah, syukur yang teramat sangat bila mendapat panggilan telefon dari HP Service Center yang mengatakan laptop aku telah siap. Walaupun beberapa saat sebelum itu hati aku amatlah sakit dan terguris oleh kerana satu sms yang aku terima dari penasihat aku. Wah, terasa dicucuk dan ditoreh saja hati aku bila membaca sms tersebut. Ayat yang cukup pedas dan mampu mengguriskan mana-mana hati yang membacanya. Kecewa betul aku, kerana satu persoalan yang aku utarakan padanya, sampai begitu sekali jawapannya. Tapi aku kuatkan juga semangat aku ni, pandang dari sudut positif. Mungkin moodnya kurang baik masa tu. Maklum la wanita ni, sebulan sekali pasti ada masa mood diorang kurang baik dan agak sensitif.

Apa-apa pun life must go on. Tidak kira lah apa un halangan dan rintangan yang melanda. Aku kena tabah dan kuat. Jangan mudah mengalah dan kalah dengan keadaan sekeliling. Aku yang kena pengaruhi keadaan sekeliling, bukan keadaan sekeliling yang mempengaruhi aku..

* D E R I T A D A L A M T A W A *

0 contengan diterima:

 

© 2010 Antara Cita dan Cinta Copyright © 2009 Black Nero is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal